Karya sastera Indonesia seperti Azab dan Sengsara karya Merari Siregar, Siti Nurbaya karya Marah Rusli, Layar
terkembang karya Sutan Takdir Alisahbana, Tenggelamnya
Kapal Van Der
Wijk karya Hamka semuanya mengisahkan
bagaimana wanita Indonesia pada zamannya. Mereka digambarkan terkongkong oleh sistem budaya,
adat dan agama. Segala keputusan kehidupan akan datang ditentukan oleh kuasa
mutlak yang dipegang oleh kaum lelaki terutamanya dalam sistem kekeluargaan
yang dinamai sebagai sistem patriarki. Setelah sekian lama golongan wanita
menjadi mangsa patriarkal, muncul gerakan wanita untuk bangkit menentang sistem
ini. Gerakan ini dikenali sebagai feminisme. Feminisme mempunyai hubungan yang erat dengan kesusasteraan kerana
dipercayai bahawa selama ini kesusasteraan dihasilkan di bawah pengaruh masyarakat patriarkal (masyarakat yang dikuasai oleh
lelaki). Kritikan feminisme pula muncul untuk memberi perhatian kepada penilaian atau representasi wanita dalam
kesusasteraan dengan membebaskan mereka daripada masalah yang menekan. Malahan, feminisme mempunyai unsur politik jantina yang bertujuan
untuk menentang wacana lelaki yang disebut sebagai patriarki.
Melalui wacana sastera, mereka bangkit secara
radikal menentang kontrak sosial berlandaskan sistem patriarki ini demi
membebaskan mereka daripada terus dibelenggu. Muncul tokoh karyawan wanita yang
memperjuangkan hak-hak wanita yang dimulai oleh R.A Kartini diikuti Ayu Utami,
Leila S. Chudori dan ramai lagi. Dalam kajian ini, Novel Pulang karya
Leila S. Chudori akan dianalisis secara terperinci tentang sejauhmana fahaman,
pandangan pengarang wanita dan bagaimana pengarang menentang secara radikal
terhadap sistem patriarki dalam konteks feminisme radikal.
2.0 Makna Feminisme Radikal.
Menurut
Kamla Bahsin dan Nighat Said Khan, dua tokoh feminis Asia Selatan; tidak mudah
untuk mendefinisikan kata feminisme yang dapat diterima atau diterapkan kepada
semua feminis di semua tempat dan waktu kerana definisi feminisme berubah
mengikut perbezaan sosial berdasarkan kelahiran, taraf kesedaran, persepsi, dan
tindakan yang dilakukan para feminis itu sendiri (Siti Muslikhati, 2004:17)
Namun, feminisme dapat dijelaskan sebagai pergerakan kaum perempuan untuk
menuntut kesamarataan taraf dengan kaum lelaki. Dengan kata mudah, feminisme
adalah satu gerakan kesedaran yang diperjuangkan oleh kaum perempuan atas
tindakan penindasan oleh satu sistem budaya yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Muncul
gerakan yang lebih ekstrem untuk menuntut kebebasan dari pelbagai sudut dan
akar umbi sehingga menobrak sistem adat resam budaya bangsa. Gerakan ini
dinamakan sebagai ‘radikal’. Aliran ini tertumpu kepada pandangan bahawa
penindasan terhadap perempuan terjadi akibat sistem patriarki. Tubuh perempuan
adalah objek utama penindasan kekuasaan lelaki. Oleh kerana itu, feminisme
radikal mempertahankan hak-hak reproduksi dan tubuh, seksualiti, seksisme,
dan kuasa perempuan. The Personal is political menjadi asas gagasan ini
untuk menghancurkan segala sistem yang membataskan wanita daripada kesamarataan
taraf dengan lelaki.
Sholwalter pula menyatakan kritikan feminisme
adalah berhubung dengan konsep kiritik feminis, yang berfokus terhadap perempuan.
Jika selama ini yang mewakili pembaca dan pencipta dalam sastera Barat adalah
lelaki, kritikan feminis menunjukkan bahawa perempuan juga mampu membawa
persepsi dan harapan ke dalam pengalaman sasteranya sekaligus mewakili jiwa
wanita dalam karya mereka agar timbulnya kesedaran terhadap hak-hak kebebasan. Beberapa
wanita telah menegaskan bahawa suatu teori feminis yang agak lengkap akan dapat
muncul hanya menerusi pengalaman wanita itu sendiri atau daripada
ketidaksedaran mereka. Wanita mesti menghasilkan bahasa mereka sendiri dan
konsep mereka sendiri tentang alam yang mungkin dilihat tidak rasional oleh
lelaki. Menurut Helene Cixous, walau apapun kesukarannya wanita mempunyai hak
untuk menetapkan nilai mereka sendiri, untuk meneroka kesedaran mereka sendiri,
mengembangkan bentuk pernyataan yang berhubungan dengan nilai dan kesedaran
mereka (selden,1989:157). Selanjutnya munculah istilah reading as a women, membaca
sebagai perempuan yang dicetuskan oleh Culler iaitu membaca dengan kesedaran,
membuang tanggapan dan ideologi kekuasan lelaki terhadap wanita secara
patriarki. Hal ini berhubung dengan konsep membaca sebagai perempuan.
Terry
Eagleton menegaskan bahawa gerakan wanita berhasil menyatukan gerak politik dan
budaya yang paling jujur dan mencabar. Semua teori yang kritikal bersifat ‘politik’
dalam erti kata lain, selalu berusaha untuk menguasai wacana. Secara sedar kaum
feminis jelas mencuba untuk mendapatkan hak mereka pada kuasa wacana yang
selama ini dipegang oleh lelaki. Apa pun strategi teori yang dapat digunakan
bagi mencapai tujuan ini adalah bagi keuntungan mereka. Dengan alasan ini,
teori kritikal feminis adalah satu mikrokosma seluruh alam teori, dalam mana
perebutan kuasa berlanjutan tanpa akhirnya (selden, 1989: 157) Hal ini telah
diperjelaskan lagi oleh Sohaimi Abdul Aziz, dalam artikelnya yang bertajuk Pandora
dalam Tivi: Satu Kritikan Feminis. Menurut beliau, umumnya feminisme adalah
unsur politik jantina yang bertujuan untuk menentang wacana lelaki yang disebut
sebagai patriarki. Hakikat ini disenangi oleh Toril Moi :
The word “feminist” or “feminism” are political label indicating support
for the aims of the women’s movement. “Feminism” then is a specific kind of
political discourge; a theoritical and political practice committed to the
struggle against patriarchy and sexism. (2014:
251)
Malahan wujud aktivis yang lebih
berani dan ekstrem yang tidak menuntut persamaaan hak dengan lelaki tetapi
menuntut persamaan seks dalam erti kata kepuasan seksual yang diperoleh
daripada sesama perempuan iaitu lesbian. Perempuan tidak harus bergantung
kepada lelaki dalam hal pemenuhan kepuasan kebendaan dan kepuasan seksual.
Perempuan dapat merasakan kehangatan, kemesraan, dan kepuasan seksual daripada
sesama perempuan. Kepuasan dari lelaki adalah masalah psikologis. Berdasarkan
pemikiran inilah, mereka mengungkapkan bahawa lelaki adalah masalah bagi
perempuan, lelaki selalu mengekplotasi fungsi reproduksi perempuan dengan
berbagai dalih. Penindasan ras, warna kulit, perbudakan dapat segera dihentikan
namun pemerasan seksual sukar dihentikan melainkan diperlakukan dengan gerakan
yang lebih ekstrem. Mereka menganggap penguasan seksual lelaki terhadap
perempuan secara total adalah penindasan yang melampau. Sebagai contoh, feminis
radikal dapat dilihat dalam novel Ayu Utami yang memaparkan watak wanita yang
tidak mempedulikan kesucian perawan yang telah dikongkong oleh pegangan sistem
budaya dan agama dalam masyarakat patriarkal. Selain itu, sistem patriarki
dalam hieraki sosial merupakan sistem yang memberikan lelaki kuasa superior dan
privilege ekonomi. Dengan kata lain, ideologi patriarkal yang ditentang wanita
dan ini adalah satu politik perjuangan yang berpanjangan dan semakin berani.
Kesimpulannya,
teori feminisme radikal
berpusat pada aspek biologis. Mereka berpendapat bahawa ketidakadilan
gender disebabkan dari perbezaan biologis antara lelaki dan wanita itu
sendiri. Maksudnya adalah perempuan terasa diekploitasi oleh kaum lelaki dalam hal-hal
biologis yang dimiliki perempuan, misalnya peranan kehamilan dan keibuan
yang selalu dipegang oleh perempuan. Oleh sebab itu kaum feminisme
radikal sering menyerang institusi-institusi keluarga dan sistem partiarki yang
mereka anggap adalah sumber penindasan. Mereka menganggap institusi-institusi
tersebut adalah institusi yang melahirkan sistem dominasi lelaki sehingga wanita
ditindas.
“Patriarki tidak hanya secara sejarah menjadi struktur dominasi dan kepatuhan wanita
dan terus menjadi sistem organisasi yang paling kuat dan tahan lama, yang
menjadi model dasar dominasi di tengah-tengah masyarakat” (Ritzer and Goodman, 2013:506).
Anggota feminisme radikal sangat menghindari institusi perkawinan
tersebut. Mereka mempunyai tujuan yang harus dicapai iaitu mengakhiri sistem keluarga
biologis. Feminisme radikal cenderung
membenci lelaki. Bahkan mereka menganggap perempuan boleh hidup mandiri tanpa
kehadiran kaum lelaki. Feminisme radikal mencari
cara untuk dapat mengalahkan sistem patriarki ini. Mereka berkeyakinan
bahawa dengan
mengetahui kelemahan perempuan dan mengatasi itu, maka sistem patriarki itu
dapat dikalahkan. Salah satu cara kaum feminisme radikal adalah menjalin cinta
lesbian.
Feminisme Lesbian
sebagai aliran utama dalam feminisme radikal adalah praktik dan keyakinan bahawa komitmen erotis
dan/atau emosional terhadap perempuan adalah bahagian dari perlawanan
terhadap dominasi patriarkal (Ritzer and Goodman, 2013:508). Hubungan seks
antara lelaki dan wanita dianggap sebagai penindasan kepada
wanita. Hubungan itu pasti akan menimbulkan perbezaan peranan dan kelas-kelas dalam
masyarakat. Kaum feminis radikal menganggap kehidupan lesbian dapat menjadi
model dalam kehidupan yang adil dan setara. Selain menyerukan kehidupan
lesbian, kaum feminisme juga menyerukan tentang kehidupan melajang dan
menjanda.
3.0 Sejarah
kemunculan teori Feminisme di Barat.
Lahirnya gerakan feminis yang dipelopori oleh
kaum perempuan terbagi kepada tiga gelombang dan masing-masing memiliki
gelombang yang sangat pesat. Diawali dengan kelahiran era pencerahan yang
terjadi di Eropah, dipelopori oleh Lady Mary Wortley Montagu dan Marquis de
Condoracet. Trend ini muncul sejak pertengahan tahun 1970-an dimana aliran ini
menawarkan ideologi ‘perjuangan separatisme perempuan’ atau dikenali sebagai universal
sisterhood. Pada sejarahnya, aliran ini muncul sebagai reaksi kerana sexsisme
atau dominasi sosial berdasarkan jenis kelamin di Barat pada tahun 1960-an,
utamanya untuk melawan kekerasan seksual dan industri pornografi. Pada tahap
pemulaan tulisan feminis moden tentang sastera, penekanan lebih berunsur
politik dalam erti kata penulis lebih giat menyatakan perasaan marah mereka
terhadap ketidakadilan dan keterlibatan dalam meninggikan kesedaran ‘politik’
kaum wanita tentang hakikat bahawa mereka ditindas oleh lelaki. Dunia kritikan
sastera mula terasa bahang pada tahun 1960-an lagi. Pada ketika itu, kritikan
feminis berada dalam gelombang pertama ekoran lahirnya tulisan yang terpengaruh
seperti A Room of One’s Own (1977) oleh Virgina Woolf dan The Second
Sex (1949) oleh Simone de Beauvoir. Kemudian muncul gelombang ke dua yang
dikenali sebagai gainokritik. Gynocriticism secara etimologi adalah berasal
daripada perkataan Perancis "la gynocritique". la satu teori yang
khusus dirangka untuk digunakan bagi menerangkan dan menganalisis karya-karya
tentang wanita yang dihasilkan oleh wanita. Karya-karya yang dihasilkan oleh
wanita menjadi fokus penting. Dengan menerima wanita sebagai pengarang kepada
karya-karya sastera yang dikaji, maka makna, tema, genre dan struktur karya
sastera itu datang daripada wanita. Menurut Rosnah Baharudin(2003) dalam Wacana
Wanita Melayu dan Sastera menjelaskan bahawa wanita sebagai “producer”.
Jadi, apa-apa sahaja yang ditulis adalah tentang wanita dan
daripada wanita. Perkara yang berkaitan dengan kreativiti, bahasa, sejarah
sastera, pengarang dan hasilnya adalah berpaksi kepada wanita. Dengan kata
lain, gainokritik bersifat “women-centered”.
Helena
Cixious dalam eseinya yang bertajuk “The Lough of The Medusa” jelas
memperlihatkan bahawa beliau cuba membawa kritikan feminis yang lebih berani
kepada kritikan yang bersifat “women centred” yang tidak lagi dibelenggu
oleh lelaki. Sekaligus membawa kelainan dan bersifat subversif iaitu
meruntuhkan dan memporakperandakan segala tanggapan stereotaip terhadap wanita
yang selama ini ‘terperangkap’ dalam dunia lelaki. Kemudian muncul gelombang
ketiga iaitu feminis radikal.
Di
Indonesia gerakan feminisme lebih dikenali sebagai emansipasi wanita. Tanggal
21 april, lahir Kartini yang dikenang oleh bangsa Indonesia sebagai wanita ‘pendobrak’
emansipasi wanita. Pada era Reformasi, gerakan feminisme menemui momentumnya
untuk mengadakan perubahan di segala bidang termasuk dalam bidang relasi
gender. Istilah ketimpangan gender pasti dikaitkan dengan keadaan perempuan
yang terpuruk, tertinggal, tersubordinasi, dan sebagainya. Alasannya cukup
logik. Jumlah wanita melebihi lelaki namun jumlah wanita yang terlibat di
sektor awam jauh lebih rendah terutama dalam bidang politik. Oleh kerana itu,
mainstream agenda feminis adalah bagaimana mewujudkan kesamaan gender secara
kuantitatif iaitu lelaki dan wanita harus sama-sama berperanan baik di dalam
rumah mahupun di luar (Siti Muslikhati, 2004:13). Di Indonesia gerakan feminis
radikal dikatakan agak bergerak perlahan tidak seperti yang berlaku di Barat.
Masyarakat Indonesia terlalu kuat memegang akar budaya dan adat terutamanya
kuasa lelaki terhadap wanita adalah dianggap mutlak. Kekuasaan lelaki dalam
sistem sosial masyarakat Indonesia dipandang tinggi dan digeruni. Oleh itu,
agak sukar bagi aktivis yang memperjuangkan hak wanita untuk mengikis ideologi
tersebut. Melalui medium sastera, karyawan bangkit untuk mencantas ideologi
bahawa wanita adalah dibawah kekuasan adat dan budaya yang dimonopoli oleh
lelaki dalam sistem patriarki. Bahkan lebih meluas lagi, gerakan ini bukan
hanya menuntut hak kebebasan wanita tetapi lebih ‘radikal’ termasuklah
kebebasan seks dan seksual. Gerakan ini dimulai oleh kaum wanita yang mempunyai
latarbelakang pendidikan yang tinggi, kehidupan mereka di Barat semasa menuntut
telah banyak membuka mata mereka untuk turut membawa perubahan dan penentangan
terhadap sistem sosial yang dianuti oleh masyarakat di tanah air. Malah lebih
bersifat ‘terbuka’. Dengan kata mudah feminis radikal ialah satu gerakan
penentangan wacana patriakal dengan menyuarakan isu seksual secara terbuka oleh
wanita.
Hal ini
demikian kerana, wanita sudah mula berani menyuarakan dan membicarakan
‘kekuasaan’ wanita terhadap lelaki melalui peranan seks, mengisahkan tentang
hubungan seks bebas, kelakuan di ranjang, mengambarkan tekstur dan bentuk badan
wanita secara terperinci dan mengairahkan, melanggar sistem perkahwinan,
keperawanan seorang wanita tidak dipedulikan malah sehingga melakukan hubungan
lesbian. Perkara seperti ini tidak lagi dianggap sensitif dan tidak perlu
disembunyikan mahupun diselindungkan lagi. Maka, keperawanan tidak lagi menjadi
mahkota wanita yang mencerminkan kesucian dan maruah. Mereka seolah-olah
mengambarkan tubuh mereka di dalam tulisan seperti yang telah diperkatakan oleh
Helene Cixious ‘meletakkan tubuh mereka ke dalam tulisan...’(selden, 1989:
155). Novel Pulang contohnya memperlihat bagaimana gambaran seorang
wanita merangkap seorang anak perempuan yang menentang bapanya sendiri yang
mewakili sistem patriarki. Malahan, pengarang dilihat bebas menyuarakan tentang
kelakuan di ranjang tanpa perlukan wacana kiasan.
4.0 Sinopsis ringkas novel Pulang.
Novel ini
mengisahkan kehidupan golongan para eksil politik yang ditahan dan diburu oleh
pemerintah pada tahun 1968 kerana menganggap mereka adalah tokoh pengkhianat
negara. Lima sekawan iaitu Dimas Suryo, Risjaf, Nugroho, Tjai merantau hingga
ke Paris. Setelah merantau membawa diri, mereka membuka restoran masakan
Indonesia iaitu Restoran Tanah Air. Hananto pula menetap di Indonesia kemudian
diburu pihak penguasa sehingga hilang entah kemana. Novel ini juga mengimbau
kembali kisah zaman muda watak-watak ini yang penuh dengan soal jatuh cinta,
putus cinta, cinta tidak kesampaian, sesuai dengan kehidupan seseorang lelaki
muda. Diceritakan juga bagaimana kehidupan keluarga mereka di Indonesia pada
tahun 1968, ditahan dan diburu oleh pemerintah. Kemudian, setelah
bertahun-tahun masing-masing menikah dan membujang sehingga anak-anak mereka
membesar terutamanya Lintang Utara anak Dimas Suryo bersama wanita Perancis
iaitu Vivience yang hidup di Perancis tetapi ingin sekali menikmati dan
memahami tanah air bapanya iaitu Indonesia. Bimo, anak Nugroho dengan Rukimini,
Kenanga, Bulan dan Alam anak Hananto bersama Surti dan Rama dan Andini anak Aji
Suryo. Mereka bangkit pada tahun 1998 untuk membantah sistem pemerintahan
Indonesia. Mereka membantu Lintang Utara untuk menghasilkan dekomentari
berkenaan kehidupan eksil politik dan keluarganya.
5.0 Analisis unsur Feminisme Radikal dalam novel
Pulang
Terdapat beberapa unsur yang dapat
dikenalpasti sebagai unsur feminisme radikal yang diperjuangkan oleh pengarang.
Pertama ialah melalui medium bahasa. Pada tahun 1970-an kritikan feminis
membawa suara baharu apabila bahasa diberi perhatian, bahasa tidak lagi dilihat
bebas daripada pengaruh gender. Penulis wanita menulis dengan bahasa yang
berbeza. Helena Cixious dalam The Laugh of the Medusa (1976) dan This
Sex Which is Not One (1980) oleh Lucy Irigary telah menyatakan terdapat
perbezaan antara wanita dengan lelaki dalam penggunaan bahasa. Oleh sebab
bahasa mempunyai hubungan yang erat dengan seksualiti maka Cixious menggesa
wanita kembali ke tubuh badan mereka untuk menulis (Suhaimi Aziz,2014:267).
Maka mereka menyarankan agar penulis wanita menggunakan bahasa mereka sendiri
untuk keluar daripada kekangan patriarki. Contohnya, Ayu Utami memilih
kata-kata yang vulgar (kasar/kesat) kerana menurutnya dia ingin membebaskan
bahasa Indonesia dari eufimisme (penghalusan kata) yang berlebihan. Penghalusan
kata yang berlebihan ini akan menyebabkan makna sebenar yang ingin disampaikan
oleh pengarang seolah tersekat dan tidak bebas. Penulis wanita yang membawa
fahaman radikal ini lebih cenderung untuk menulis secara kesat dan kasar supaya
maknanya tepat dan bebas daripada pengaruh terutamanya pengaruh gender. Hal ini
demikian kerana seorang wanita secara patriarkal tidak dibenarkan bercakap
kasar, kesat mahupun lucah kerana golongan wanita ini berada di bawah pengaruh
adat budaya yang sudah tentu kepala adat dipegang oleh lelaki. Adat ini menekan
golongan wanita supaya bertindak sopan, lemah lembut dan berbicara perihal yang
baik-baik sahaja. Namun, dalam novel Pulang dapat dilihat bahawa
pengarang masih lagi mengunakan bahasa yang manis dan sopan secara
keseluruhannya sesuai dengan pembawaan seorang wanita tetapi apabila
mengutarakan tentang permulaan berlakunya seks di ranjang contohnya pengarang
mula ‘terbuka’ membicarakan hal tersebut tanpa kiasan.
“Akhirnya ku tutup bibirnya dengan bibirku. Dan tanpa kopi luwak, kami
mengalami pencapaian orgasmik melalui ciuman yang tak henti-henti” hlm 15.
“Ke lekuk dadanya. Ke putingnya yang tegang. Ketika Surti mengeluarkan
suara nafas tertahan, aku tak ingin dan tak bisa berhenti. Jika Risjaf menuntut
ikan pindang serani pelipur lara itu, aku akan mengatakan ada guncangan gempa
bumi yang merontokkan dapur kami. Ku angkat Surti ke atas meja dapur. Seluruh
tubuhku sudah tertanam ke dalam tubuhnya. Selama-lamanya” hlm 61
“Masih ada waktukah untuk... Membuatmu tidak tegang?” hlm 253
Malahan,
pengarang mengunakan bahasa yang cukup terbuka untuk mengambarkan tentang
bentuk badan wanita. Contohnya :
“Aku tak tahu apakah Vivienne menyadari betapa aku tak tenang melihat
putingnya yang menonjol di balik T-shirt itu”. Hlm 27
Pengarang
bersikap lebih radikal apabila mengambarkan lelaki yang dianggap ‘kuat’ dalam
segala hal akhirnya tewas dalam pelukan wanita hanya dengan kuasa tubuh badan
wanita dengan mengunakan bahasa yang cukup ringkas dan terbuka. Contohnya :
“Ku ambil dagunya dan kubenamkan bibirku selama-lamanya. Sukar untuk
menahan ketegangan tubuh ini. Bibir Surti begitu empuk dan manis seperti es
krim Baltik. Sulit pula untuk berhenti menanamkan lidahku ke segala lekuk
tubuhnya. Ke lekuk dadanya. Ke putingnya yang tegang. Ketika Surti mengeluarkan
suara nafas tertahan, aku tak ingin dan tak bisa berhenti. Jika Risjaf menuntut
ikan pindang serani pelipur lara itu, aku akan mengatakan ada guncangan gempa
bumi yang merontokkan dapur kami. Ku angkat Surti ke atas meja dapur. Seluruh tubuhku
sudah tertanam ke dalam tubuhnya. Selama-lamanya” hlm 61.
Pengarang
telah mengarapkan watak lelaki iaitu Dimas Suryo seorang eksil politik yang
gagah perkasa dan berani menentang pemerintah Indonesia yang korup sehingga
beliau diburu oleh pihak berkuasa. Keberanian dan kekuatan lelaki yang diwakili
oleh Dimas Suryo akhirnya tewas hanya kerana menatap bibir empuk milik seorang
wanita iaitu Surti. Betapa rendahnya jiwa seorang lelaki digambarkan hanya
dapat dibeli dengan keempukkan bibir manis seorang wanita sehingga golongan
lelaki ini tertewas dalam pelukan wanita. Maknanya, penentangan wanita terhadap
lelaki tidak memerlukan demontrasi besar-besaran mahupun senjata canggih tetapi
hanya dengan bibir wanita sahaja lelaki sudah menunduk, tertunduk dan terpuruk
ke dasar lebih hina.
Malahan,
kekuatan seseorang lelaki yang diwakili oleh Dimas Suryo dipandang rendah oleh
wanita apabila pengarang mengambarkan lelaki yang kuat tenaga dan semangatnya
kental melawan pemerintah serta banyak menyimpan sejarah Indonesia juga tewas
hanya kerana pujuk rayu dan kecantikan seorang wanita. Malahan Dimas Suryo
sanggup membuka rahsia sejarah politik Indonesia dan sejarah hidupnya yang
sekian lama tersimpan rapi kerana hanya disebabkan oleh godaan dan pujuk rayu
seorang wanita. Kecantikan tubuh badan dan sifat wanita itu sahaja mampu
menewaskan lelaki yang kuat seperti Dimas Suryo, seorang eksil politik yang
berjiwa kental juga turut tertewas dengan mudah.
Contohnya :
“Aku menyentuh bibirnya sekilas. Kulihat sepasang mata hijau yang
menyala dengan hasrat. Dia kemudian menarikku dan kami berciuman begitu
panjang. Aku merasa Vivienne sudah memasuki seluruh hatiku, pori-poriku, dan
jantungku. Kalaupun aku diam, aku tahu, Vivienne sudah bisa merangkap rasa
pahit darah dan liurku. Dan pada saat itulah, aku tahu, aku ingin merelakan
Vivienne perlahan menguak tirai hitam sejarahku” hlm 21
Hal ini
menunjukkan bahawa kuasa wanita membatasi lelaki hanya dengan pemilikan tubuh
badan. Wanita yang sekian lama dianggap sterotaip oleh lelaki iaitu wanita
adalah insan yang lemah nyata telah diputarbalikkan oleh pengarang. Walaupun
lelaki mempunyai kekuatan fizikal sehingga mampu bekerja berat, berperang
mengangkat senjata, berbunuhan sekalipun akhirnya tertewas dengan hanya menatap
liuk lentuk badan wanita. Malah, hanya kerana mata dan bibir sahaja wanita
mampu menewaskan kekuasaan lelaki.
Seterusnya,
pengarang melukiskan watak wanita yang moden dan berfikiran terbuka serta
bebas. Pengarang mengekplotasi bagaimana seorang wanita berdarah Asia
(Indonesia) yang terpengaruh dengan budaya barat (Paris). Lintang Utara
mewakili wanita berdarah Asia tidak memegang ideologi patriarki bahawa
keperawaan seseorang wanita itu berhubungkait dengan kesucian maruah wanita dan
keluarga. Hal ini dapat dilihat apabila Lintang Utara bebas melakukan seks
dengan lelaki yang disukainya iaitu Nara dan Alam tanpa segan silu. Dalam
masyarakat patriakal persoalan tentang keperawanan wanita itu sangat penting.
Keperawanan wanita adalah lambang kesuciannya kerana bebas dinodai oleh lelaki.
Wanita yang masih belum berkahwin dianggap masih perawan, hanya dengan
perkahwinan yang sah sahaja keperawanan wanita itu layak diserahkan kepada
lelaki. Namun, Lintang Utara dengan bebas menyerahkan mahkotanya untuk diratah
oleh kekasihnya Nara. Contohnya halaman 282:
“Mereka menyalakan musik sekencang-kencangnya
agar tetangga mereka, yang hanya dibatasi tembok tipis, tak terganggu oleh
bunyi berisik repetitif dari pasangan yang sedang bergelojak ini”
Lebih teruk lagi apabila pengarang melukiskan
watak Lintang Utara yang tidak terlalu setia pada seorang kekasih sahaja walhal
lelaki tersebut menyerahkan seluruh jiwa dan raga serta cinta padanya. Bagi
Nara, tidak akan ada wanita lain yang dapat mengantikan cintanya terhadap
Lintang Utara. Tetapi, Lintang Utara mewakili ideologi feminis radikal seorang
yang tidak peduli kepada soal kesetiaan pada kekasih terutamanya lelaki. Hal
ini demikian kerana, Lintang Utara dengan mudah tertarik dan tertawan pada
lelaki lain malah melakukan hubungan seks seperti sepasang kekasih yang saling
memendam rindu dan cinta tanpa memikirkan tentang cintanya terhadap kekasihnya
iaitu Nara. Hal ini juga berlaku terhadap Dimas Suryo, beliau separuh mati
mencintai Surti namun Surti menikahi Hananto, rakan baik Dimas Suryo sendiri
tanpa sebab. Malah, Rukimini juga menolak cinta Risjaf dengan cara berkencan
dan menikah dengan Nugroho. Disini jelas pengarang memijak lumat hati lelaki
lantas mencampaknya ke dasar gaung yang paling dalam. Jelas bahawa golongan
feminis radikal membawa masuk ideologi wanita yang tidak memperdulikan soal
hati dan perasaan lelaki malah perasaannya sendiri. Nilai kesetiaan tidak
menjadi keutamaan dan pengikat antara wanita dengan lelaki. Malah mereka bebas
untuk memilih bercinta dan menikah dengan sesiapapun yang mereka kehendaki.
Dengan kata mudah, perasaan, jiwa dan cinta lelaki dengan mudah dipermainkan
begitu sahaja oleh wanita yang selama ini dianggap lemah dari segi fizikal dan
juga emosi. Digambarkan watak-watak lelaki menderita setelah cinta mereka
ditolak dan dipermainkan sehingga mereka merasa tertekan dan kecewa pada dasar
yang paling dalam. Disamping itu, kebebasan wanita melakukan seks ini dapat
dikenalpasti apabila Lintang melakukan hubungan seks dengan Alam, anak Surti
kekasih bapanya. Contohnya:
“Aku melompat dan memeluk Alam begitu erat dan
entah bagaimana tiba-tiba aku sudah menciumnya, mencium bibirnya, mendorong
tubuhnya agar melekat pada dinding kamarnya. Entah bagaimana dia segera
membalas itu semua dengan semangat yang sungguh menggebu,menciumku, merobek
blus sehingga kancing-kancing itu bertaburan dan giliran dia yang menekan
tubuhku ke dinding. Kami tak sempat lagi saling melucuti seluruh baju, karena
segala hasrat terlalu lama ditahan...” hlm 406.
Justeru, institusi perkahwinan juga
didobrak oleh pengarang. Ikatan perkahwinan tidak lagi dipandang perlu dan
penting untuk meneruskan kelangsungan hidup. Malah perkahwinan akan meletakkan
wanita di dalam ‘penjara’ yang tidak berdinding seperti kejadian yang berlaku
terhadap Surti apabila kehilangan Hananto. Surti dianggap digantung tanpa
bertali, ini kerana Hananto meninggalkan Surti tanpa jejak dan ungkapan cerai
sehingga ikatan perkahwinan Hananto dan Surti ‘tergantung’ sehingga tua
disebabkan oleh adanya sistem yang mengikat wanita iaitu perkahwinan. Malahan,
perkahwinan juga tidak digambarkan sebagai sistem yang kukuh kerana Vivienne
yang berkahwin dengan Dimas Suryo juga bercerai kerana tidak sefahaman lagi.
Vivienne menganggap Dimas Suryo masih tidak dapat melupakan cinta pertamanya
iaitu Surti. Jadinya, golongan feminis radikal ini ingin bebas daripada
kekangan ini, satu ikatan yang akan memaksa mereka akur pada kuasa lelaki.
Tambahan pula, feminis radikal menyeru wanita supaya melanjang dan menjanda.
Disamping itu, feminis radikal cenderung membenci lelaki. Bahkan mereka
menganggap perempuan boleh hidup mandiri tanpa
kehadiran kaum lelaki. Feminisme radikal mencari
cara untuk dapat mengalahkan sistem patriarki ini. Dalam karya ini juga menunjukkan unsur feminis radikal
apabila Surti dan Vivienne sanggup hidup mandiri setelah kehilangan suami
dengan cara menjanda. Ini demikian kerana, feminis radikal menganggap
perkahwinan satu sistem perhambaan lelaki terhadap wanita. Oleh sebab
perkahwinan sudah tidak bererti maka wanita boleh bertindak mengikut kehendak
nafsunya dan bebas menyerahkan keperawanan kepada sesiapapun.
Ideoogi patriarkal semakin terasa
digugat dan diserang oleh feminime radikal apabila kedudukan lelaki di dalam
novel ini terus dijungkirbalikkan oleh wanita. Malah watak wanita diangkat
menjadi watak yang benar-benar superior dan mampu mengalahkan kuasa lelaki.
Dalam novel ini pengarang meletakan watak wanita yang mandiri, berani berdikari
dan bijak membuat keputusan iaitu Lintang Utara. Lintang Utara berani membuat
keputusan untuk pulang ke Indonesia bertujuan untuk merakam kehidupan para
eksil politik untuk dijadikan sebuah dekomentari. Apabila diteliti, watak ini
sebenarnya menghina watak lelaki yang dianggap jaguhan iaitu Dimas Suryo dan
rakan-rakan. Dimas Suryo dan rakan-rakan tidak berani untuk pulang ke kampung
halamannya di Indonesia walaupun mendengar perkhabaran bahawa rakan mereka,
Hananto menghilang dan Surti bersama anak-anak ditahan di dalam penjara.
Setelah 10 tahun kejadian itu berlaku, mereka juga masih tidak berani untuk
pulang ke negara Indonesia. Amat memalukan, sebagai seorang lelaki dan para
eksil politik yang dianggap jaguh, pahlawan dan wira ini tidak berani bertindak
untuk mencari jalan penyelesaian. Disamping itu, watak Rama juga mengambarkan betapa
seorang lelaki itu lemah dan tidak berani bersuara. Rama enggan mengunakan nama
ayahnya daripada keluarga Suryo, keluarga eksil politik yang diburu. Malah
lebih memalukan apabila Rama tidak berani mengaku di hadapan ayah kekasihnya
bahawa dia adalah berasal daripada salah seorang ahli kelurga eksil politik
kerana khuatir hubungan dia dengan anak perempuan, lelaki berkuasa di Indonesia
itu tidak direstui. Namun sebaliknya terjadi, apabila Lintang Utara dengan
lantang sekali bersuara menegakkan nama ayahnya iaitu Dimas Suryo dan Restoran
Tanah Air di hadapan keluarga tersebut. Lebih tragis, maruah lelaki terus
dipijak oleh wanita apabila pengarang menterbalikkan sifat yang harus ada pada
seorang lelaki sebenarnya tetapi ada dalam diri wanita yang selalunya dianggap
lemah. Malah sifat kejantan itu tidak ada pula dalam diri seorang lelaki.
Contohnya, pengarang mencipta watak Surti yang cekal mengharungi hidup di dalam
tahanan bersama anak-anak. Mereka melihat pembunuhan dan penyeksaan terhadap
para eksil politik dan keluarga. Malahan anaknya sendiri iaitu Kenanga diarah
untuk menyucikan darah di lantai penjara. Jelas menunjukkan bahawa wanita lebih
berani daripada lelaki yang lebih memilih untuk lari meninggalkan negara
apabila diburu dan tidak berani pulang. Malahan segala sengsara diburu
ditanggung oleh wanita dengan tabah. Sekali lagi maruah lelaki tercemar
ditangan seorang pengarang wanita. Tidak kurang juga apabila pengarang terus
menyerang sistem patriarkal bahawa tempat selayaknya bagi wanita adalah di
dapur, menguruskan anak dan menjaga makan minum keluarga. Tetapi di dalam novel
ini, pengarang meletakkan lelaki sebagai petugas yang memikul tanggungjawab
tersebut walaupun selama ini dianggap sebagai tugas seorang wanita. Sekali
lagi, sistem patriarkal dilanyak lumat oleh pengarang. Contohnya jelas apabila
Dimas Suryo yang bertangungjawab membesarkan anak, menyediakan sarapan untuk
isteri dan anak perempuan malahan memasak di dapur Restoran Tanah Air.
6.0 Kesimpulan
Secara keseluruhannya, pengarang bebas untuk
menyuarakan kejujuran tentang seks dan mengambarkan adegan seks dengan
mengunakan bahasa wanita itu sendiri. Adegan seks dilukis dengan bahasa yang
mudah difahami dan tidak berlapik. Wanita sudah tidak segan silu melakukan
hubungan seks dengan ramai lelaki malah perasaan lelaki juga dipermainkan
dengan mudah. Disamping itu, maruah lelaki dan sistem patriarkal telah berjaya
dicungkirbalikan oleh pengarang wanita. Novel ini jelas menunjukkan bahawa
gerakan feminis untuk menuntut hak sama rata dengan lelaki berjaya dibawa oleh
golongan feminis radikal dengan mengunakan tubuh badan mereka. Tubuh badan
wanita digambarkan telah berjaya menundukkan keegoan dan kekuatan seorang
lelaki yang selalunya dianggap jaguh. Kelemahan lelaki telah diselongkar satu
persatu oleh pengarang di dalam novel ini.
Kegiatan
feminisme bukan hanya melanda Eropah dan Indonesia, malahan turut berlaku di
Tanah Melayu. Buktinya, lahir karya yang menuntut emansipasi wanita pada era
kemunculan penulis moden iaitu Iakah Salmah, Hikayat Faridah Hanum dan
sebagainya. Rata-rata mengambarkan bagaimana wanita moden bangkit untuk
menentang sistem patriarki dan menuntut kesamarataan hak dengan lelaki dari
segi kebebasan bersuara, hak mendapat pendidikan dan sebagainya. Kebangkitan
golongan feminis radikal ini telah mencoret sejarah apabila wanita zaman kini
tidak lagi menjadi tenaga domestik yang menguruskan perihal rumahtangga semata.
Mereka sudah berani duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan golongan
lelaki malah menjadi salah satu tenaga kerja dalam pelbagai sektor.
Namun,
feminisme radikal
ini banyak dikritik kerana dianggap terlalu
ekstrem. Dikatakan bahawa teori feminisme radikal
terlalu tertumpu pada orientasi biologis dan lupa bahawa ada pengaruh azali dalam pembentukan
konsep gender. Hal ini tentunya tidak sesuai dengan kenyataan yang ada kerana kewujudan golongan lelaki tetap diperlukan
dalam segala aspek kehidupan untuk menghidupkan keseimbangan sosial. Selain itu, fenomena-fenomena
alam yang terjadi selalu menunjukkan bahawa adanya keseimbangan
antara maskulin dan feminis. Selain itu teori ini tidak sesuai dengan
kenyataan, lembaga perkahwinan sudah ada sejak
manusia diciptakan sehingga mustahil untuk menerapkan teori ini yang bertujuan
untuk menghilangkan institusi keluarga. Malahan
para wanita lesbian
dianggap sebagai kaum minoriti dalam
kalangan masyarakat. Oleh itu, adat dan budaya boleh
diubah namun janganlah sehingga menghilangkan jati diri, identiti, nilai bangsa
dan mengetepikan nilai agama.
Rujukan
Barbara A Crow, 2000. A Radical
Feminisme;Documentary of reader. New York : New York University Press.
Chris Beasley, 1999. What is
Feminisme? An introduction to feminist theory. Australia : SAGE
Deborah L. Madsen, 2000 . Feminist
Theory ang Literary Practice. London : Pluto Press
Ekarini Saraswati, 1993. Sosiologi
Sastra; Sebuah Pemahaman Awal. Malang : UUM Press dan Bayu Media
Leila s. Chudori, 2003. Pulang. Jakarta
: KPG (Kepustakaan Populer Gramedia).
Raman Selden, 1989. Teori
Kesusasteraan Sezaman. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sara Ahmed, 1998. Differences That
Matter; Feminist Theory and Postmodernism. London : Cambridge University
Press.
Siti Muslikhati, 2004. Feminisme
dan Pemberdayaan Perempuan dalam Timbangan Islam. Jakarta : Gema Insani
Press.
Siti Khairiah binti Muhd Zubir, 2004.
Citra wanita dalam novel-novel Melayu daripada perspektif pengarang Wanita.
Selangor : UPM.
Sohaimi Abdul Aziz, 2014. Teori
dan kritikan sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sumber Internet.
http://privatefreakystory.blogspot.my/2013/10/feminisme-radikal-teorifeminisme.html
Dicapai pada 26/9/2015, 3:41 pm.
http://elib.unikom.ac.id/files/disk1/543/jbptunikompp-gdl-eighwikaku-27140-6-unikom_e-i.pdf
Dicapai pada 11.45 pm/ 15/10/2015
http://library.binus.ac.id/eColls/eThesisdoc/Bab2/2012-2-00801-JP%20Bab2001.pdf Dicapai pada 12.45 pm/ 15/10/2015
KAJIAN OLEH ROSLINDA ABDUL RASHID (SARJANA SASTERA USM, PENANG)
No comments:
Post a Comment