KISAH AKU, DIA DAN MEREKA.
Kisah ini bermula ketika aku akan
menduduki peperiksaan akhir semester 3,2003. Aku dipelawa untuk mengulangkaji
di bilik seorang kawanku, Mila. Sebelum ini, aku sememangnya kerap mengunjungi
dan tidur dibiliknya, tindakan ini sudah tentu merupakan menyalahi dari segi
peraturan dan undang-undang universiti. Para pelajar di desa kediaman lain
tidak dibenarkan untuk menetap di desa kediaman orang lain. Aku tidak peduli,
aku cuma ikhlas membantu kawan yang meminta aku menemaninya lantaran rakan
sebiliknya pulang ke kampung halaman pada setiap minggu. Aku sebagai kawannya
sudah tentu sanggup berulang alik setiap minggu kadang-kadang setiap hari untuk
kebiliknya walaupun jauh dalam keadaan keletihan dan kepenatan. Aku tidak
kisah, kalau bukan aku sebagai kawannya,
siapa lagi yang patut menbantunya? tidak menjadi kudis bagiku, fikirku.
Dijadikan kisah, pada suatu hari
aku melihat Mila sangat kerap membalas chat
facebooknya, walhal ketika itu dia
sedang dalam keadaan perang dingin dengan kekasihnya. Aku tidak peduli, itu hal
peribadinya. Keesokan hari, lantaran hari itu adalah minggu ulangkaji Mila
mempelawa aku dan Farah menemaninya untuk belajar berkumpulan dengan seseorang
tentang matapelajaran yang agak susah, aku tanpa curiga mengikutinya. Tiba-tiba
datang seorang lelaki, aku tidak mengenalinya tetapi wajahnya tidak asing
bagiku kerana dia sekelas dalam matapelajaran itu. Aku tidak peduli, kami
berbincang seperti biasa. Tetapi naluri wanitaku tersentuh apabila aku
merasakan pandangan mata lelaki itu seakan-akan tepat kewajahku. Aku tidak
mengendahkan tenungan itu.
Lama-kelamaan kami berkenalan
dengan lebih rapat lagi melalui Facebook,
aku mengenalinya dia sedikit demi
sedikit. Ya, dia seorang yang peramah dan bermulut becok tetapi kata-katanya sering
mengusik hati wanitaku. Lantaran ketika itu, dia baru sahaja mengalami saat
putus cinta dengan kekasihnyanya yang sudah 2 tahun menjalinkan hubungan cinta.
Aku bersimpati, cuba seikhlas hati membantu dan memberi nasihat. Bagiku, sangat
sukar untuk menghadapi sebuah perpisahan dengan orang yang kita sayangi sepenuh
hati kerana aku juga pernah mengalaminya. Sangat menyakitkan!
Peperiksaan berjaya aku tamatkan
dengan jayanya, aku pulang ke kampung halaman lebih awal daripada dia, kertas
ujiannya masih belum tamat. Aku menaiki
bas seorang diri. Kami sering membalas pesanan khidmat ringkas(SMS) dan aku
sering menelefonya. Selepas dia pulang ke kampung halamanya, dia melamar aku
untuk menjadi teman penganti kekasihnya, mengisi kekosongan hatinya. Aku masih
ragu-ragu. Hatiku kosong lantaran keperitan dalam hubungan cinta sebelum ini. Aku
berfikir dan berfikir tetapi wujud pula perasaan rindu terhadapnya. Rindu pada kata-katanya, bicaranya, senyumannya,
kelakuannya yang gila-gila itu membuatkan aku terhibur dari segala duka dan
keperitan. Tanpa berfikir panjang aku menerimanya sebagai temanku, kami
berhubung melalui telefon dengan kerap, dan rasa cinta terhadapnya mula
berputik dan bercambah. Aku tidak mengerti mengapa naluri
wanita ku terlalu mudah untuk menyayangi seseorang dan berharap dia akan
memberikan aku kekuatan dan kebahagiaan dalam menghadapi
hari-hari yang akan mendatang.
Namun, kata orang langit tak
selalunya cerah, begitulah juga dengan kehidupan. Aku sangkakan panas sampai ke
petang rupanya hujan ditengah hari, dalam masa bercinta banyak kenangan yang
kami pahatkan namun hanya untuk seketika. Aku lupa dan lalai, terlalu
mengejar cinta dia sehingga aku lupa cinta Ilahi itu kekal abadi. Kami putus hubungan, mungkin
sudah ditakdirkan sebegitu, putus dalam keadaan tanda tanya. Bermulanya
semester 4, berbagai-bagai tomahan yang ku dengar tentangnya. Kaki perempuan, pandai
bermain kata-kata dan sudah ramai perempuan yang menjadinya bekas kekasihnya. Aku
sangat marah, lantaran dia tidak menghantar SMS kepadaku agak sekian lama. Aku
melontarkan amarah padanya, lantas dia meninggalkan aku. Aku terkapai-kapai
dengan impian semalam. Perasaan aku mula membentak, perasaanku huru hara, serba
tidak kena jadinya. Malam itu aku berjumpa dengannya untuk berbincang perkara
ini disesuatu tempat. Dia datang, dan masih seperti dulu. Suaranya, gayanya, bicaranya
tetap sama, tapi aku masih rindu. Aku tidak tahu mengapa aku terlalu
menyayanginya. Aku buntu, dia katakan padaku dia tidak mahu kembali padaku lagi,
cukuplah setakat ini. Tapi hatiku masih tidak percaya dengan hakikat ini. Aku
memendam rasa dan mencari penyelesaian sendiri, kenangan yang kami lakarkan
perlahan-lahan terimbas kembali seperti menonton layar perak, satu demi satu
tertacap di fikiran bermain di layar mata. Aku pejamkan mata. Namun bayangannya
masih kelihatan dengan jelas. Emosiku terganggu, saban malam aku menanggis kerana terlalu sakit menahan panahan rindu.
Lama-kelamaan, tubuhku menjadi lemah seperti biasa, aku mengalami sakit kepala
lalu aku menelan ubat panadol. Malam ini seperti biasa aku tidur dibilik Mila,
tepat jam 2 pagi aku terasa badanku mula sejuk dan badanku mengeletar dan
mukaku pusat kuning. Aku tidak mampu berdiri, aku mengejutkan Mila dari
tidurnya. Mila dan Farah membawa aku ke hospital. Mila menyangka aku ingin
membunuh diri akibat putus cinta. dia bercerita pada staf hospital apabila aku
dimasukkan di wad kecemasan. Dalam keadaan sedar tak sedar aku diperiksa dan
dikerjakan dengan teruk oleh staf hospital itu. Sakitnya hanya tuhan sahaja
yang tahu sehingga meningalkan kesan lebam-lebam yang teruk. Aku dimasukkan
kedalam wad C5, wad rawatan kritikal. Bermula saat itu, aku dimasukan ubat dan
ubat, tanganku dicocok-cocok, hidungku disumbat wayar. Aku muntah dan muntah
sehingga badanku kering kontang, tekakku terasa pahit dan aku tidak dibenarkan
makan dan minum selama dua hari. Darah mula mengalir keluar dari wayar itu yang
disumbat sehingga mencapai bahagian hati. Tekak dan dadaku terasa sangat pedih,
aku muntah dan terus muntah tanpa henti. Aku tidak lekang didatangi doktor-doktor
pelatih dan pakar. Dalam keadaan masih belum sedar sepenuhnya aku mendengar
perbualan mereka.
"Saya nak, kamu bawa dia ke
unit Radiografi, cuba periksa apa yang dah jadi dengan hatinya, kalau rosak
kita terpaksa melakukan pembedahan pindahan hati secepat mungkin".
"Baik doktor", kata
seorang jururawat.
Aku cuba mengingati peristiwa
semalam, selepas aku pengsan dibilik Mila. Aku dibawa ke
hospital ini, sampai sekerat jalan aku sudah tidak sedarkan diri. Selepas aku
dirawat di unit ICU, aku dibawa kedalam wad ini. Wad yang penuh dengan
pesakit-pesakit majoritinya sedang bertarung menghadapi detik-detik terakhir dalam
kehidupan, dengan kondisi mereka yang seperti itu, barangkali. Aku membuat
andaian. Aku tidak mampu melihat mereka dengan jelas, kepalaku hanya berlapikan
bantal, jadi aku hanya mampu melihat pesakit yang berada di penjuru kaki
katilku, kaku dan pucat lesi.
“Su!” Aku terasa badanku disentuh. Dalam
kesamaran dan kepayahan, aku celikan mata. Mila berada disisi katilku.
“Esok aku datang lagi jenguk kau,
kalau ada apa-apa suruh jururawat hubungi
aku, aku dah tinggalkan nombor telefon”, aku mengangguk dalam sedar tak sedar. Keadaan
aku 50/50.
“Satu lagi aku nak pesan, kalau sesiapa tanya
dekat mana kau pengsan ni? Kau jangan jawab dekat desa aku, cakaplah dekat
bilik kau. Apabila tak sedap badan kau hubungi aku, ingat tu!” Mila mengarahkan
aku supaya merahsiakannya.
“Kau tahu kan, pengawa kediaman aku
tu garang. Nanti akan dimarahinya, faham?” aku mengangguk lagi, masa ini aku
tidak mampu berfikir dalam keadaan seperti itu. Aku melelapkan mata dalam
kepayahan dan seorang diri.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Dalam kesedihan, aku cuba mencari
kekhilafan diri. Jerit pekik pesakit lain yang menderita kesakitan menyedarkan
aku bahawa amat bernilai sebuah kehidupan ini, dan menghadapi mati itu sangat
menyiksakan dan menyakitkan. Inikan pula untuk menghadapi sakratulmaut.
MasyaAllah!! ampunkan aku diatas segala dosaku yang terlalu mencintai dunia. aku
masih menanti kedatangan sahabatku Mila
dan Farah yang masih tidak kunjung tiba. Mereka sudah berjanji untuk melawat
aku petang ini. Aku pandang ke arah pelawat yang masuk untuk mengunjungi
keluarga mereka satu persatu, aku melihat mereka membawa buku Surah Yassin untuk dibacakan kepada seorang pesakit tua
yang menghampiri ajalnya, aku lihat seorang Ustaz menadah tangan memohon pada
Allah. Aku mula terasa sebak, mungkin ini balasan terhadap kekufuran aku selama
ini. Aku perhatikan muka pintu bilik itu, seorang demi seorang melewatinya,
pelbagai bangsa. Lama aku memerhatikan pintu itu, lalu aku hampa. Dengan
linangan air mata, aku alihkan badanku mengiring ke kiri, menghadap pesakit
perempuan tua yang ditemani suaminya. Aku lihat terpancar kasih sayang suami
terhadap isterinya walaupun usia mereka sudah lanjut, suaminya menyiapkan katil
untuk perempuan itu, memasang sarung bantal. Aku menyeka linangan air mata
dengan tanganku yang penuh wayar itu, terbit didalam sanubariku mengapa aku
tidak pernah mengecapi kebahagian seperti itu, disayangi, dipedulikan oleh
orang yang aku sayangi yang aku anggap paling rapat denganku, yang boleh
berkongsi suka duka bersama ku sehingga seusia mereka, aku terimbau pada
kisah-kisah keluargaku. Juga tidak seperti itu, ayah dan ibuku sudah bercerai
ketika aku masih remaja dan tidak mengerti apa-apa. Mereka meninggalkan kami
sebelas adik beradik tanpa perhatian dan kasih sayang. Aku cuba melelapkan
mata mengusir segala kenangan, pandanganku masih lagi kabur. Lantaran pelbagai
jenis ubat yang masuk kedalam urat sarafku, aku mula tertidur. Namun, tiba-tiba
aku tersedar. Aku mengiring kebelakang. Aku mengukir senyuman gembira, aku
lihat ekspresi wajah mereka bagaikan terkejut. Matanya dialih ketempat lain,
tidak sudi memandang aku. Aku tersentuh, fikiran ku mula melayang.
"Wahai sahabatku, tidakkah
kamu sudi melihat wajahku yang pusat dan hidungku tersumbat wayar ini? tegar kamu
memperlakukan aku sebegini? kamu sudah tidak menganggap aku sahabat? mana
janjimu dulu, akan ada disisiku walau apa pun yang berlaku”. Aku hiba, namun cepat-cepat
ku tahan air mata dari terus berlinang.
“Maaf Su, aku terpaksa balik awal.
Aku ada banyak lagi kerja yang belum siap. Ni aku hantar baju kau, nanti kalau
ada apa-apa hubungi aku”. Kata Mila.
Dalam pandangan mata yang masih
kabur, aku cuba mengangguk berat, kepayahan. Aku lihat mereka gelisah. Mungkin
takut melihat pesakit-pesakit lain yang masih bertarung dengan maut. Aku
diamkan diri, aku perhati wajah mereka satu persatu. “Merekalah sahabatku
ketika aku masih sihat duhulu, merekalah teman gelak tawa, dan duka ku. Tapi kini
aku merasa mereka mula menjauh. Kerana apa?”, aku juga tidak mengerti. Aku cuba
memujuk hati dan cuba berfikiran positif. “Mungkin mereka tidak sanggup aku
melihat kesakitan seperti ini”.
“Farah! Cepatlah telefon teksi, kau tu dah lah deman. Kalau lambat nanti tak sempat nak pergi klinik ambil ubat. Sekarang pukul 3.40 petang, suruh teksi tu datang pukul 4”. Kata Mila lagi.
“Farah! Cepatlah telefon teksi, kau tu dah lah deman. Kalau lambat nanti tak sempat nak pergi klinik ambil ubat. Sekarang pukul 3.40 petang, suruh teksi tu datang pukul 4”. Kata Mila lagi.
Aku menahan sakit dan kehausan, aku
terkesima, aku perhatikan jam di dinding. Tepat jam 3.30 petang mereka sampai
disini, ditepi katilku ini. Tidak sampaipun setengah jam, mereka sudah mahu
pulang. “Duhai sahabatku, tidak tahukan kau, aku kebosanan tinggal disini, aku
tidak betah, aku mahu pulang. Mengapa begitu cepat kamu mahu meninggalkan aku?”.
Aku memendam rasa, kata-kata ini hanya mampu terungkap didalam jiwa, tidak bisa
dilontar keluar. Lidahku kelu, hatiku pilu. Sekali lagi aku berusaha mengusir
segala kesedihan, menahan air mata.
“Pak cik Teksi tak dapat datang
pukul 4 petang kalau 4.30 petang baru boleh”, kata Farah selepas dia
bercakap-cakap di talian.
“Cuba hubungi teksi lain”. Mila
mengarahkan, wajahnya nampak runsing dan tidak selesa, seperti mahu sahaja dia
melompat atau terbang keluar dari wad ini.
Farah mendail, untuk seketika. “tak
dapat lah,sibuk”. Kata Farah dalam nada yang perlahan.
“Okey, tunggu jelah yang pukul 4.30
petang tu, aku bukan apa. Takut terlewat nanti, tak dapat nak pergi klinik,
nanti kenderaan di jalan raya sibuk, lagi susah. Kalau kau pengsan siapa nak
tolong?”, Mila berkata-kata seolah-olah aku tidak wujud dihadapanya.
Seolah-olah aku sudah mati kaku, tidak punyai perasaan. Masakan tidak, seorang
sahabat rapat sanggup berkata sebegitu di hadapan ku, seolah-olah tidak ikhlas
menjenguk ku, memandang wajahku.
“Ke…napa sebelum da…tang sini, tak
singgah dulu… dekat klinik. Klinik Penawar kan ada?” Kataku. Namun soalan ku dibiarkan
sepi dibawa angin, tidak disambut mahupun dijawab.
Aku pejamkan mata, cuba mengusir
kenangan lalu, cuba menahan pilu. Sakit fizikal boleh dilihat, boleh dirawat.
Tapi sakitnya perasaan ini, tidak siapa yang tahu walaupun di X-tray berjuta
kali sekalipun. Mereka mendiamkan diri, begitu juga aku. Aku masih belum kuat
untuk bergerak mahupun untuk bercakap seperti sediakala. Kenangan semalam
datang lagi, menerpa benakku. Aku cuba berfikir dan menyalahkan takdir, Beginikah
yang dipanggil sebagai seorang kawan? Yang selama ini aku sanggup bersusah
payah demi mereka walaupun dalam hal yang remeh temeh. Aku sanggup berulang
alik ke biliknya selepas selesai kuliah dan menetap di biliknya, gara-gara dia
khuatir tidak dapat tidur lena disebabkan seorang diri di bilik, jadi aku
sebagai sahabat sanggup menemani. Bagiku hanya itu yang aku mampu bantu, kalau
nak diharapkan bantuan dari segi kemewahan harta benda atau wang sudah tentu aku
tidak mampu, fikirku.
Namun, langit yang cerah jangan
disangka tidak akan hujan secara tiba-tiba, Allah S.W.T Maha Berkuasa dan mampu
merancang apa sahaja tanpa kita manusia yang daif ini ketahui. Sesungguhnya
perancangan Allah maha hebat menandakan kekuasaannya yang agung sehingga mampu
mematikan yang hidup dan menghidupkan yang mati. Aku masih ingat bagaimana Mila
mengajak aku menemani mereka ke Klinik Penawar yang jauhnya hanya sekangkang
kera dari desa mereka, aku yang masih kepenatan berjalan kaki pulang dari
kuliah petang itu tergesa-gesa kebilik mereka. Aku sangka mereka sakit teruk,
padahal hanya mengalami segugut yang biasa mereka alami setiap bulan. Namun aku
tidak pernah merunggut.
Tepat jam 4.20 petang mereka meminta izin
untuk pulang, aku anggukan kepala sahaja. Malas untuk menyusahkan mereka
menemani aku disini sehingga lewat petang. Telefon aku kekurangan bateri dan
tidak mempunyai kredit. Aku membelek-belek telefonku setelah berdaya untuk
menekan papan skrinnya. Aku berfikir, masih adakah sahabat aku diluar sana yang
masih lagi boleh dipanggil ‘sahabat’, aku membatukan diri dan cuba berfikir
sejenak.
Tiba-tiba telefonku berdering,
tanda aku mendapat pesanan ringkas dari seseorang setelah dua hari telefonku
menyepi. Aku membuka inbox, pesanan
dari sahabatku Sarah.
“Su, tolong cetak dokumen ni, nanti nak kena hantar”, ringkas pesananya. Aku terkenangkan tanggungjawabku yang
masih tertangguh, kasihan. Aku tidak mampu membantu dalam keadaanku begini.
Aku menghantar ‘Creadit Request’, tidak sampai 5minit.
Telefonku berbunyi lagi. Aku menarik nafas lega. Aku membalas pesanannya dan
menceritakan keadaanku tapi aku tidak bercerita tentang hal yang
sebenar-benarnya lalu aku tekan butang ‘hantar’. Aku katakana padanya, aku di
hospital, dan memintanya merahsiakan keadaanku pada teman-teman yang lain. Itu
sahaja, sebenarnya aku tidak mahu menyusahkan sesiapa, cukuplah apa yang aku
alami penderitaan jiwa dengan kerenah Farah dan Mila itu. Aku tidak mahu
meminta simpati sesiapa, aku mampu hidup sendiri di hospital ini bersama
pesakit lain walaupun akulah satu-satunya pesakit yang tidak dijengguk orang.
Suntikan demi suntikan, rawatan demi rawatan.
Aku semakin pulih. Aku dipindahkan ke wad Denggi. Disana lebih selesa, tidak
sibuk dengan pesakit-pesakit yang tenat menanti ajal itu. Aku berasa lebih
tenang. Aku didatangi satu-satunya sahabat yang aku sayangi Mamat, dia bawakan
buah tangan buatku, 4 biji buah Epal kegemaranku.
“Terima kasih, bawakan aku Epal”,
dengan senyuman pucat aku hadiahkan kepadanya yang bersusah payah meredah
kesibukan jalan raya di Pulau Pinang
ini. Aku merasakan matanya tepat memandang wajahku, aku tundukan mukaku yang ku
rasa sangat hodoh dan pucat hilang serinya. Malahan, aku cuba mengelak anak
mataku menikam anak matanya. Dia menjatuhkan pinggulnya disisi katilku.
“Ohh! Deman denggi? Patutlah
kediaman aku semalam ada pihak kesihatan datang sembur asap nyamuk tu”, matanya
tertacap pada meja disebelahku yang tertulis HAK MILIK WAD DENGGI.
Aku rasakan bagaikan mahu ketawa
bahak-bahak, mengusir segala kepedihan. Aku mengiakan sahaja. Takut nanti
rahsiaku terbongkar.
Jangan lupa makan tau, makan epal
tu”, nasihat dari seorang sahabat yang aku rasa cukup memahami. Benar kata para
Ulama, setiap dugaan yang mendatang dalam kehidupan kita, setanding dengan
kemampuan kita. Allah hanya mahu menguji setakat mana kekuatan iman hambanya.
Hamba yang redha, Allah akan hadiahkan sesuatu pada hambanya. Maka kita
perlulah bersyukur. Benar, kau sahabatku anugerah yang tak terhingga.
“Aku dah lama tak makan, masuk hari
ni sudah 4 harilah, tak ada seleralah. Makanan kat sini sedap, tapi aku tak
mampu nak menelan,” sedikitpun aku tidak memandang wajahnya, aku takut.
Keperitan dan kesengsaraan aku ini dapat dikesan melalui mataku. Mata tidak
pernah menipu. Aku cuba mengukir senyuman.
Keesokan harinya, kesihatanku
semakin bertambah. Aku sudah mula ceria. Sudah mampu mengukir senyuman kepada
Doktor yang merawat aku. Katanya aku sudah sihat seratus peratus. Esok aku
dijangka pulang, aku gembira. Aku terus menghantar SMS kepada Farah, aku
katakan padanya aku sudah boleh pulang besok. Namun, aku hanya dapat SMS yang
cukup ringkas, aku baca perlahan.
“Esok kau balik sendiri ya, telefon lah teksi, suruh Pak Cik teksi ambil
kau”, ringkas, namun sekali lagi merobak
jiwa dan perasaanku. Hatiku berasa sayu, pedih. Belum sempat aku berkata-kata
apa-apa aku sudah mendapat jawapan itu. Sungguh menyakitkan!
Malam itu, aku mendapat panggilan
dari seseorang, aku terkesima. Aku masih lagi terlantar di katil hospital. Aku
telah dilamar oleh seseorang. Aku berfikir panjang. Kemudian aku jawab dengan
jawapan yang cukup ringkas.
“Maafkan saya, saya tidak mahu
menumpang kasih manusia, kerana ianya penuh dengan kepura-puraan. Saya hanya
mahu cinta dari Allah, cinta yang kekal abadi”.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Aku hanyunkan langkah dengan penuh bertenaga,
beg yang berat aku pegang dengan penuh keyakinan menyusuri kaki lima hospital
ini. Sampai di pintu pagar, aku toleh ke
belakang. Bagaikan para pesakit, jururawat dan doktor serta staf melambai-lambai
kearahku. Meraikan kemenanganku keluar
dari segala kesakitan dan keperitan. Aku ukirkan senyuman, aku sematkan kata
ini didalam jiwa “Jangan sesekali memanggil kematian jika belum tiba waktunya,
kerana menghadapi saat kematian itu sangatlah menyakitkan. Janganlah cuba
membuat dosa sesungguhnya balasan akhirat kelak, tidak tertanggung sakitnya.
Menghadapi sakratulmaut itu, hanyalah cebisan daripada kesakitan seksaan api
neraka”. Aku meneruskan langkah tanpa menoleh lagi.
No comments:
Post a Comment