Friday, 25 October 2013

CERPEN : KISAH AKU DIA DAN MEREKA

KISAH AKU, DIA DAN MEREKA.

Kisah ini bermula ketika aku akan menduduki peperiksaan akhir semester 3,2003. Aku dipelawa untuk mengulangkaji di bilik seorang kawanku, Mila. Sebelum ini, aku sememangnya kerap mengunjungi dan tidur dibiliknya, tindakan ini sudah tentu merupakan menyalahi dari segi peraturan dan undang-undang universiti. Para pelajar di desa kediaman lain tidak dibenarkan untuk menetap di desa kediaman orang lain. Aku tidak peduli, aku cuma ikhlas membantu kawan yang meminta aku menemaninya lantaran rakan sebiliknya pulang ke kampung halaman pada setiap minggu. Aku sebagai kawannya sudah tentu sanggup berulang alik setiap minggu kadang-kadang setiap hari untuk kebiliknya walaupun  jauh dalam keadaan keletihan dan kepenatan. Aku tidak kisah, kalau bukan aku sebagai  kawannya, siapa lagi yang patut menbantunya? tidak menjadi kudis bagiku, fikirku.
Dijadikan kisah, pada suatu hari aku melihat Mila sangat kerap membalas chat facebooknya, walhal ketika itu dia sedang dalam keadaan perang dingin dengan kekasihnya. Aku tidak peduli, itu hal peribadinya. Keesokan hari, lantaran hari itu adalah minggu ulangkaji Mila mempelawa aku dan Farah menemaninya untuk belajar berkumpulan dengan seseorang tentang matapelajaran yang agak susah, aku tanpa curiga mengikutinya. Tiba-tiba datang seorang lelaki, aku tidak mengenalinya tetapi wajahnya tidak asing bagiku kerana dia sekelas dalam matapelajaran itu. Aku tidak peduli, kami berbincang seperti biasa. Tetapi naluri wanitaku tersentuh apabila aku merasakan pandangan mata lelaki itu seakan-akan tepat kewajahku. Aku tidak mengendahkan tenungan itu.
Lama-kelamaan kami berkenalan dengan lebih rapat lagi melalui Facebook, aku mengenalinya  dia sedikit demi sedikit. Ya, dia seorang yang peramah dan bermulut becok tetapi kata-katanya sering mengusik hati wanitaku. Lantaran ketika itu, dia baru sahaja mengalami saat putus cinta dengan kekasihnyanya yang sudah 2 tahun menjalinkan hubungan cinta. Aku bersimpati, cuba seikhlas hati membantu dan memberi nasihat. Bagiku, sangat sukar untuk menghadapi sebuah perpisahan dengan orang yang kita sayangi sepenuh hati kerana aku juga pernah mengalaminya. Sangat menyakitkan! 
Peperiksaan berjaya aku tamatkan dengan jayanya, aku pulang ke kampung halaman lebih awal daripada dia, kertas ujiannya  masih belum tamat. Aku menaiki bas seorang diri. Kami sering membalas pesanan khidmat ringkas(SMS) dan aku sering menelefonya. Selepas dia pulang ke kampung halamanya, dia melamar aku untuk menjadi teman penganti kekasihnya, mengisi kekosongan hatinya. Aku masih ragu-ragu. Hatiku kosong lantaran keperitan dalam hubungan cinta sebelum ini. Aku berfikir dan berfikir tetapi wujud pula perasaan rindu terhadapnya. Rindu  pada kata-katanya, bicaranya, senyumannya, kelakuannya yang gila-gila itu membuatkan aku terhibur dari segala duka dan keperitan. Tanpa berfikir panjang aku menerimanya sebagai temanku, kami berhubung melalui telefon dengan kerap, dan rasa cinta terhadapnya mula berputik  dan  bercambah. Aku tidak mengerti mengapa naluri wanita ku terlalu mudah untuk menyayangi seseorang dan berharap dia akan memberikan aku kekuatan dan kebahagiaan  dalam  menghadapi hari-hari yang akan mendatang.
Namun, kata orang langit tak selalunya cerah, begitulah juga dengan kehidupan. Aku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan ditengah hari, dalam masa bercinta banyak kenangan yang kami pahatkan  namun  hanya untuk seketika. Aku lupa dan lalai, terlalu mengejar cinta dia sehingga aku lupa cinta  Ilahi itu  kekal abadi. Kami putus hubungan, mungkin sudah ditakdirkan sebegitu, putus dalam keadaan tanda tanya. Bermulanya semester 4, berbagai-bagai tomahan yang ku dengar tentangnya. Kaki perempuan, pandai bermain kata-kata dan sudah ramai perempuan yang menjadinya bekas kekasihnya. Aku sangat marah, lantaran dia tidak menghantar SMS kepadaku agak sekian lama. Aku melontarkan amarah padanya, lantas dia meninggalkan aku. Aku terkapai-kapai dengan impian semalam. Perasaan aku mula membentak, perasaanku huru hara, serba tidak kena jadinya. Malam itu aku berjumpa dengannya untuk berbincang perkara ini disesuatu tempat. Dia datang, dan masih seperti dulu. Suaranya, gayanya, bicaranya tetap sama, tapi aku masih rindu. Aku tidak tahu mengapa aku terlalu menyayanginya. Aku buntu, dia katakan padaku dia tidak mahu kembali padaku lagi, cukuplah setakat ini. Tapi hatiku masih tidak percaya dengan hakikat ini. Aku memendam rasa dan mencari penyelesaian sendiri, kenangan yang kami lakarkan perlahan-lahan terimbas kembali seperti menonton layar perak, satu demi satu tertacap di fikiran bermain di layar mata. Aku pejamkan mata. Namun bayangannya masih kelihatan dengan jelas. Emosiku terganggu, saban malam aku menanggis  kerana terlalu sakit menahan panahan rindu. Lama-kelamaan, tubuhku menjadi lemah seperti biasa, aku mengalami sakit kepala lalu aku menelan ubat panadol. Malam ini seperti biasa aku tidur dibilik Mila, tepat jam 2 pagi aku terasa badanku mula sejuk dan badanku mengeletar dan mukaku pusat kuning. Aku tidak mampu berdiri, aku mengejutkan Mila dari tidurnya. Mila dan Farah membawa aku ke hospital. Mila menyangka aku ingin membunuh diri akibat putus cinta. dia bercerita pada staf hospital apabila aku dimasukkan di wad kecemasan. Dalam keadaan sedar tak sedar aku diperiksa dan dikerjakan dengan teruk oleh staf hospital itu. Sakitnya hanya tuhan sahaja yang tahu sehingga meningalkan kesan lebam-lebam yang teruk. Aku dimasukkan kedalam wad C5, wad rawatan kritikal. Bermula saat itu, aku dimasukan ubat dan ubat, tanganku dicocok-cocok, hidungku disumbat wayar. Aku muntah dan muntah sehingga badanku kering kontang, tekakku terasa pahit dan aku tidak dibenarkan makan dan minum selama dua hari. Darah mula mengalir keluar dari wayar itu yang disumbat sehingga mencapai bahagian hati. Tekak dan dadaku terasa sangat pedih, aku muntah dan terus muntah tanpa henti. Aku tidak lekang didatangi doktor-doktor pelatih dan pakar. Dalam keadaan masih belum sedar sepenuhnya aku mendengar perbualan mereka.
"Saya nak, kamu bawa dia ke unit Radiografi, cuba periksa apa yang dah jadi dengan hatinya, kalau rosak kita terpaksa melakukan pembedahan pindahan hati secepat mungkin".
"Baik doktor", kata seorang jururawat.
Aku cuba mengingati peristiwa semalam, selepas aku pengsan dibilik Mila. Aku dibawa   ke hospital ini, sampai sekerat jalan aku sudah tidak sedarkan diri. Selepas aku dirawat di unit ICU, aku dibawa kedalam wad ini. Wad yang penuh dengan pesakit-pesakit majoritinya sedang bertarung  menghadapi detik-detik terakhir dalam kehidupan, dengan kondisi mereka yang seperti itu, barangkali. Aku membuat andaian. Aku tidak mampu melihat mereka dengan jelas, kepalaku hanya berlapikan bantal, jadi aku hanya mampu melihat pesakit yang berada di penjuru kaki katilku, kaku dan pucat lesi.
“Su!” Aku terasa badanku disentuh. Dalam kesamaran dan kepayahan, aku celikan mata. Mila berada disisi katilku.
“Esok aku datang lagi jenguk kau, kalau ada apa-apa suruh jururawat hubungi aku, aku dah tinggalkan nombor telefon”, aku mengangguk dalam sedar tak sedar. Keadaan aku 50/50.
 “Satu lagi aku nak pesan, kalau sesiapa tanya dekat mana kau pengsan ni? Kau jangan jawab dekat desa aku, cakaplah dekat bilik kau. Apabila tak sedap badan kau hubungi aku, ingat tu!” Mila mengarahkan aku supaya merahsiakannya.
“Kau tahu kan, pengawa kediaman aku tu garang. Nanti akan dimarahinya, faham?” aku mengangguk lagi, masa ini aku tidak mampu berfikir dalam keadaan seperti itu. Aku melelapkan mata dalam kepayahan dan seorang diri.
                                      xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Dalam kesedihan, aku cuba mencari kekhilafan diri. Jerit pekik pesakit lain yang menderita kesakitan menyedarkan aku bahawa amat bernilai sebuah kehidupan ini, dan menghadapi mati itu sangat menyiksakan dan menyakitkan. Inikan pula untuk menghadapi sakratulmaut. MasyaAllah!! ampunkan aku diatas segala dosaku yang terlalu mencintai dunia. aku masih menanti kedatangan sahabatku  Mila dan Farah yang masih tidak kunjung tiba. Mereka sudah berjanji untuk melawat aku petang ini. Aku pandang ke arah pelawat yang masuk untuk mengunjungi keluarga mereka satu persatu, aku melihat mereka membawa buku Surah Yassin  untuk dibacakan kepada seorang pesakit tua yang menghampiri ajalnya, aku lihat seorang Ustaz menadah tangan memohon pada Allah. Aku mula terasa sebak, mungkin ini balasan terhadap kekufuran aku selama ini. Aku perhatikan muka pintu bilik itu, seorang demi seorang melewatinya, pelbagai bangsa. Lama aku memerhatikan pintu itu, lalu aku hampa. Dengan linangan air mata, aku alihkan badanku mengiring ke kiri, menghadap pesakit perempuan tua yang ditemani suaminya. Aku lihat terpancar kasih sayang suami terhadap isterinya walaupun usia mereka sudah lanjut, suaminya menyiapkan katil untuk perempuan itu, memasang sarung bantal. Aku menyeka linangan air mata dengan tanganku yang penuh wayar itu, terbit didalam sanubariku mengapa aku tidak pernah mengecapi kebahagian seperti itu, disayangi, dipedulikan oleh orang yang aku sayangi yang aku anggap paling rapat denganku, yang boleh berkongsi suka duka bersama ku sehingga seusia mereka, aku terimbau pada kisah-kisah keluargaku. Juga tidak seperti itu, ayah dan ibuku sudah bercerai ketika aku masih remaja dan tidak mengerti apa-apa. Mereka meninggalkan kami sebelas adik beradik tanpa perhatian dan kasih sayang. Aku cuba melelapkan mata mengusir segala kenangan, pandanganku masih lagi kabur. Lantaran pelbagai jenis ubat yang masuk kedalam urat sarafku, aku mula tertidur. Namun, tiba-tiba aku tersedar. Aku mengiring kebelakang. Aku mengukir senyuman gembira, aku lihat ekspresi wajah mereka bagaikan terkejut. Matanya dialih ketempat lain, tidak sudi memandang aku. Aku tersentuh, fikiran ku mula melayang.
"Wahai sahabatku, tidakkah kamu sudi melihat wajahku yang pusat dan hidungku tersumbat wayar ini? tegar kamu memperlakukan aku sebegini? kamu sudah tidak menganggap aku sahabat? mana janjimu dulu, akan ada disisiku walau apa pun yang berlaku”. Aku hiba, namun cepat-cepat ku tahan air mata dari terus berlinang.
“Maaf Su, aku terpaksa balik awal. Aku ada banyak lagi kerja yang belum siap. Ni aku hantar baju kau, nanti kalau ada apa-apa hubungi aku”. Kata Mila.
Dalam pandangan mata yang masih kabur, aku cuba mengangguk berat, kepayahan. Aku lihat mereka gelisah. Mungkin takut melihat pesakit-pesakit lain yang masih bertarung dengan maut. Aku diamkan diri, aku perhati wajah mereka satu persatu. “Merekalah sahabatku ketika aku masih sihat duhulu, merekalah teman gelak tawa, dan duka ku. Tapi kini aku merasa mereka mula menjauh. Kerana apa?”, aku juga tidak mengerti. Aku cuba memujuk hati dan cuba berfikiran positif. “Mungkin mereka tidak sanggup aku melihat kesakitan seperti ini”.
            “Farah! Cepatlah telefon teksi, kau tu dah lah deman. Kalau lambat nanti tak sempat nak pergi klinik ambil ubat. Sekarang pukul 3.40 petang, suruh teksi tu datang pukul 4”. Kata Mila lagi.
Aku menahan sakit dan kehausan, aku terkesima, aku perhatikan jam di dinding. Tepat jam 3.30 petang mereka sampai disini, ditepi katilku ini. Tidak sampaipun setengah jam, mereka sudah mahu pulang. “Duhai sahabatku, tidak tahukan kau, aku kebosanan tinggal disini, aku tidak betah, aku mahu pulang. Mengapa begitu cepat kamu mahu meninggalkan aku?”. Aku memendam rasa, kata-kata ini hanya mampu terungkap didalam jiwa, tidak bisa dilontar keluar. Lidahku kelu, hatiku pilu. Sekali lagi aku berusaha mengusir segala kesedihan, menahan air mata.
“Pak cik Teksi tak dapat datang pukul 4 petang kalau 4.30 petang baru boleh”, kata Farah selepas dia bercakap-cakap di talian.
“Cuba hubungi teksi lain”. Mila mengarahkan, wajahnya nampak runsing dan tidak selesa, seperti mahu sahaja dia melompat atau terbang keluar dari wad ini.
Farah mendail, untuk seketika. “tak dapat lah,sibuk”. Kata Farah dalam nada yang perlahan.
“Okey, tunggu jelah yang pukul 4.30 petang tu, aku bukan apa. Takut terlewat nanti, tak dapat nak pergi klinik, nanti kenderaan di jalan raya sibuk, lagi susah. Kalau kau pengsan siapa nak tolong?”, Mila berkata-kata seolah-olah aku tidak wujud dihadapanya. Seolah-olah aku sudah mati kaku, tidak punyai perasaan. Masakan tidak, seorang sahabat rapat sanggup berkata sebegitu di hadapan ku, seolah-olah tidak ikhlas menjenguk ku, memandang wajahku.
“Ke…napa sebelum da…tang sini, tak singgah dulu… dekat klinik. Klinik Penawar kan ada?” Kataku. Namun soalan ku dibiarkan sepi dibawa angin, tidak disambut mahupun dijawab.
Aku pejamkan mata, cuba mengusir kenangan lalu, cuba menahan pilu. Sakit fizikal boleh dilihat, boleh dirawat. Tapi sakitnya perasaan ini, tidak siapa yang tahu walaupun di X-tray berjuta kali sekalipun. Mereka mendiamkan diri, begitu juga aku. Aku masih belum kuat untuk bergerak mahupun untuk bercakap seperti sediakala. Kenangan semalam datang lagi, menerpa benakku. Aku cuba berfikir dan menyalahkan takdir, Beginikah yang dipanggil sebagai seorang kawan? Yang selama ini aku sanggup bersusah payah demi mereka walaupun dalam hal yang remeh temeh. Aku sanggup berulang alik ke biliknya selepas selesai kuliah dan menetap di biliknya, gara-gara dia khuatir tidak dapat tidur lena disebabkan seorang diri di bilik, jadi aku sebagai sahabat sanggup menemani. Bagiku hanya itu yang aku mampu bantu, kalau nak diharapkan bantuan dari segi kemewahan harta benda atau wang sudah tentu aku tidak mampu, fikirku.  
Namun, langit yang cerah jangan disangka tidak akan hujan secara tiba-tiba, Allah S.W.T Maha Berkuasa dan mampu merancang apa sahaja tanpa kita manusia yang daif ini ketahui. Sesungguhnya perancangan Allah maha hebat menandakan kekuasaannya yang agung sehingga mampu mematikan yang hidup dan menghidupkan yang mati. Aku masih ingat bagaimana Mila mengajak aku menemani mereka ke Klinik Penawar yang jauhnya hanya sekangkang kera dari desa mereka, aku yang masih kepenatan berjalan kaki pulang dari kuliah petang itu tergesa-gesa kebilik mereka. Aku sangka mereka sakit teruk, padahal hanya mengalami segugut yang biasa mereka alami setiap bulan. Namun aku tidak pernah merunggut.
 Tepat jam 4.20 petang mereka meminta izin untuk pulang, aku anggukan kepala sahaja. Malas untuk menyusahkan mereka menemani aku disini sehingga lewat petang. Telefon aku kekurangan bateri dan tidak mempunyai kredit. Aku membelek-belek telefonku setelah berdaya untuk menekan papan skrinnya. Aku berfikir, masih adakah sahabat aku diluar sana yang masih lagi boleh dipanggil ‘sahabat’, aku membatukan diri dan cuba berfikir sejenak.
Tiba-tiba telefonku berdering, tanda aku mendapat pesanan ringkas dari seseorang setelah dua hari telefonku menyepi. Aku membuka inbox, pesanan dari sahabatku Sarah.
“Su, tolong cetak dokumen ni, nanti nak kena hantar”, ringkas pesananya. Aku terkenangkan tanggungjawabku yang masih tertangguh, kasihan. Aku tidak mampu membantu dalam keadaanku begini.
Aku menghantar ‘Creadit Request’, tidak sampai 5minit. Telefonku berbunyi lagi. Aku menarik nafas lega. Aku membalas pesanannya dan menceritakan keadaanku tapi aku tidak bercerita tentang hal yang sebenar-benarnya lalu aku tekan butang ‘hantar’. Aku katakana padanya, aku di hospital, dan memintanya merahsiakan keadaanku pada teman-teman yang lain. Itu sahaja, sebenarnya aku tidak mahu menyusahkan sesiapa, cukuplah apa yang aku alami penderitaan jiwa dengan kerenah Farah dan Mila itu. Aku tidak mahu meminta simpati sesiapa, aku mampu hidup sendiri di hospital ini bersama pesakit lain walaupun akulah satu-satunya pesakit yang tidak dijengguk orang.
 Suntikan demi suntikan, rawatan demi rawatan. Aku semakin pulih. Aku dipindahkan ke wad Denggi. Disana lebih selesa, tidak sibuk dengan pesakit-pesakit yang tenat menanti ajal itu. Aku berasa lebih tenang. Aku didatangi satu-satunya sahabat yang aku sayangi Mamat, dia bawakan buah tangan buatku, 4 biji buah Epal kegemaranku.
“Terima kasih, bawakan aku Epal”, dengan senyuman pucat aku hadiahkan kepadanya yang bersusah payah meredah kesibukan jalan raya  di Pulau Pinang ini. Aku merasakan matanya tepat memandang wajahku, aku tundukan mukaku yang ku rasa sangat hodoh dan pucat hilang serinya. Malahan, aku cuba mengelak anak mataku menikam anak matanya. Dia menjatuhkan pinggulnya disisi katilku.
“Ohh! Deman denggi? Patutlah kediaman aku semalam ada pihak kesihatan datang sembur asap nyamuk tu”, matanya tertacap pada meja disebelahku yang tertulis HAK MILIK WAD DENGGI.
Aku rasakan bagaikan mahu ketawa bahak-bahak, mengusir segala kepedihan. Aku mengiakan sahaja. Takut nanti rahsiaku terbongkar.
Jangan lupa makan tau, makan epal tu”, nasihat dari seorang sahabat yang aku rasa cukup memahami. Benar kata para Ulama, setiap dugaan yang mendatang dalam kehidupan kita, setanding dengan kemampuan kita. Allah hanya mahu menguji setakat mana kekuatan iman hambanya. Hamba yang redha, Allah akan hadiahkan sesuatu pada hambanya. Maka kita perlulah bersyukur. Benar, kau sahabatku anugerah yang tak terhingga.
“Aku dah lama tak makan, masuk hari ni sudah 4 harilah, tak ada seleralah. Makanan kat sini sedap, tapi aku tak mampu nak menelan,” sedikitpun aku tidak memandang wajahnya, aku takut. Keperitan dan kesengsaraan aku ini dapat dikesan melalui mataku. Mata tidak pernah menipu. Aku cuba mengukir senyuman.
Keesokan harinya, kesihatanku semakin bertambah. Aku sudah mula ceria. Sudah mampu mengukir senyuman kepada Doktor yang merawat aku. Katanya aku sudah sihat seratus peratus. Esok aku dijangka pulang, aku gembira. Aku terus menghantar SMS kepada Farah, aku katakan padanya aku sudah boleh pulang besok. Namun, aku hanya dapat SMS yang cukup ringkas, aku baca perlahan.
“Esok kau balik sendiri ya, telefon lah teksi, suruh Pak Cik teksi ambil kau”, ringkas, namun sekali lagi merobak jiwa dan perasaanku. Hatiku berasa sayu, pedih. Belum sempat aku berkata-kata apa-apa aku sudah mendapat jawapan itu. Sungguh menyakitkan!
Malam itu, aku mendapat panggilan dari seseorang, aku terkesima. Aku masih lagi terlantar di katil hospital. Aku telah dilamar oleh seseorang. Aku berfikir panjang. Kemudian aku jawab dengan jawapan yang cukup ringkas.
“Maafkan saya, saya tidak mahu menumpang kasih manusia, kerana ianya penuh dengan kepura-puraan. Saya hanya mahu cinta dari Allah, cinta yang kekal abadi”.
                                     xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

 Aku hanyunkan langkah dengan penuh bertenaga, beg yang berat aku pegang dengan penuh keyakinan menyusuri kaki lima hospital ini.  Sampai di pintu pagar, aku toleh ke belakang. Bagaikan para pesakit, jururawat dan doktor serta staf melambai-lambai kearahku. Meraikan kemenanganku  keluar dari segala kesakitan dan keperitan. Aku ukirkan senyuman, aku sematkan kata ini didalam jiwa “Jangan sesekali memanggil kematian jika belum tiba waktunya, kerana menghadapi saat kematian itu sangatlah menyakitkan. Janganlah cuba membuat dosa sesungguhnya balasan akhirat kelak, tidak tertanggung sakitnya. Menghadapi sakratulmaut itu, hanyalah cebisan daripada kesakitan seksaan api neraka”. Aku meneruskan langkah tanpa menoleh lagi.