1.0 Pengenalan
Ghaz Abu Bakar atau nama asalnya Ghazali Abu Bakar adalah seorang pengarah hebat yang sememangnya tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air. Beliau merupakan alumni Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya dalam bidang Filem dan Animasi. Beliau mula bergerak aktif menghasilkan klip video/videografi seperti klip video “Sesucinya Cintamu” nyanyian Anuar Zain. Hasil buah fikirannya yang sangat menakjubkan ini, melonjakkan nama beliau dalam industri musik. Beliau banyak menghasilkan klip video untuk penyanyi-penyanyi tempatan seperti Sheila Majid. Kini, pensyarah MMU ini telah menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu The Media Hustler Grows. Nama beliau semakin meningkat naik apabila filem arahannya mencatat jumlah rekod tontonan tertinggi di seluruh Malaysia iaitu filem Polis Evo (2015). Filem Suami Aku Ustaz (2015) yang diarahkan oleh beliau bersama Adi Putra telah memeriahkan lagi dunia pefileman tanah air. Filem adaptasi ini telah selesai ditayangkan bermula pada 14 Mei 2015 yang lalu. Filem ini telah ditayangkan selama 21 hari di dalam 59 buah panggung wayang di seluruh Malaysia. Filem Suami Aku Ustaz (SAU) merupakan sebuah filem adaptasi daripada novel islamik popular yang mengunakan tajuk yang sama, iaitu Suami Aku Ustaz karya Hannah Dhaniyah. Skrip filem ini digubah dan ditulis semula oleh penulis asal iaitu Hannah Dhaniyah sendiri.
Isu adaptasi sudah banyak dibincangkan oleh semua pihak. Hal ini dibuktikan oleh Cristian Metz(1931-1993) seorang ahli teori filem Perancis yang memperkenalkan pemahaman filem dari sudut semiotik. Beliau membangkitkan isu bahawa kajian adaptasi yang melihat fenomena adaptasi hanya berdasarkan isu setia atau tidak setia, atau sebanyak mana persamaan filem tersebut dengan novelnya sudah terlalu banyak diperkatakan, malah meletihkan dan menjemukan. Isu adaptasi sebenarnya lebih luas daripada sekadar melihat isu ini. Tambahnya lagi, adaptasi filem dapat dikaji melalui sudut lain iaitu antara interpretasi dengan interpretasi. Oleh itu, kajian ini akan meneliti bagaimana interpretasi dengan interpretasi ini terjadi dan berhubungan dalam dua media berbeza serta bagaimana kesannya kepada khalayak. Seterusnya, adakah interpretasi ini dapat menganalisis, mempengaruhi dan mengenali kejayaan dan kegagalan sesebuah filem adaptasi daripada sebuah novel popular. Kajian ini akan tertumpu kepada novel dan filem yang bertajuk Suami Aku Ustaz (SAU) dalam konteks adaptasi.
2.0 Sinopsis filem Suami Aku Ustaz (SAU)
Alisa (Nora Danish) dipaksa berkahwin dengan sepupunya merangkap guru agama di sekolah menengah iaitu Ustaz Hafiz (Adi Putra) apabila ibu bapanya ingin menunaikan ibadat haji di Mekah. Hanya kepada Ustazlah ibu bapa Alisa bergantung harapan, tangungjawab dan kepercayaan untuk menjaga Alisa setelah pemergiaan mereka. Berpaksikan alasan itu Alisa dinikahkan. Dilema bermula setelah Alisa dan Ustaz Hafiz berkahwin. Alisa perlu menyembunyikan statusnya di sekolah daripada diketahui oleh rakan-rakan dan guru termasuklah rakan baiknya Johan (Izue Islam) dan Wati yang dilakonkan oleh Betty Ahmad. Dalam dilema dan perbezaan usia yang ketara, Alisa juga terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik untuk menerima Ustaz Hafiz sebagai seorang suami, sepupu malah guru agama sekolahnya. Konflik dalaman ini menekan jiwa dan perasaan Alisa. Akhirnya, rahsianya terbongkar apabila Alisa kemalangan dan dihantar ke rumahnya oleh Cikgu Liana (Jue Aziz) dan Johan. Di sini mereka terserempak dengan Ustaz Hafiz yang secara kebetulan baru pulang dari sekolah. Layanan dan perhatian mesra Ustaz Hafiz terhadap Alisa mengundang tanda tanya terhadap status mereka. Ustaz Hafiz menceritakan hal yang sebenar. Cikgu Liana dan Johan kecewa. Rahsia mereka yang terbongkar ini menyebabkan Ustaz Hafiz ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan merogol remaja bawah umur. Akhirnya, timbul kekesalan di hati Alisa kerana tidak mencintai suaminya. Ustaz Hafiz dibebaskan atas jaminan keluarga Alisa. Mereka jatuh cinta dan akhirnya bahagia.
Filem ini mengambil sebahagian sahaja daripada naratif asal. Di dalam novel, konflik yang berlaku terhadap Alisa berpanjangan apabila Alisa menuntut di Universiti Teknologi Petronas. Di Universiti, muncul watak Naim. Didalam diam Naim menyukai Alisa, secara kebetulan adik Naim iaitu Sarah menjadi rakan sebilik Alisa. Rancangan untuk memiliki Alisa akhirnyanya gagal apabila mereka mengetahui Alisa mengalami keguguran dan sudah bersuami. Kemudian, Ustaz Hafiz mengambil anak angkat. Anak hasil hubungan luar nikah pelajar perempuannya. Alisa menjaga anak angkatnya dengan gembira sehinggalah mereka dikurniakan cahaya mata.
3.0 Definisi, prinsip dan konsep adaptasi.
Beberapa terminologi digunakan apabila mengaitkan usaha pemindahan sebahagian atau seluruh sesuatu karya cereka kepada lakon layar. Antaranya ialah dipadankan, didasarkan, disesuaikan dan disadur. Ada pula yang mendefinisikan sebagai ‘dipadankan, disesuaikan, didasarkan atau disadur secara longgar atau secara bebas’. Secara tidak langsung, pemilihan terminologi ini ditentukan oleh sejauhmana atau sedalam mana media visual itu menterjemah media cetak sebagai medium asal. Namun, pengertian tertinggi kepada fenomena ini dipanggil adaptasi. Melalui pandangan Syd Field (1990:148) dalam bukunya Lakonlayar : Asas Penulisan Skrip, menerangkan adaptasi adalah “mengubah sesetengah isi daripada satu media ke satu media yang lain”. Adaptasi dilihat sebagai kebolehan menyesuaikan dengan menukarkan, menyelaraskan atau mengubah sesuatu dengan mencipta suatu perubahan di dalam struktur, fungsi dan bentuk untuk menghasilkan satu pelarasan yang lebih baik. Mengadaptasi sesuatu, mengikut pandangan Alan Rosenthal pula dalam bukunya, Writing Docudrama : Dramatizing Reality for Film and Tv (1995) bermakna mengubah, memperbetul, membentuk dan mempermudah.
Menerbitkan drama dan filem adaptasi daripada novel popular telah menjadi satu fenomena yang semakin hangat dieksploitasi oleh industri penyiaran di Malaysia. Pengarah dan penerbit berlumba-lumba mengadaptasi novel popular ke bentuk filem dan drama rantaian kerana dua bentuk adaptasi tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan sehingga mencapai peningkatan rating dan jualan tiket tertinggi berbanding filem dan drama bukan adaptasi novel popular sehingga tahun 2014. Hal ini juga dikatakan berlaku kerana adaptasi karya novel popular mendapat persaingan positif industri penerbitan drama negara ini dan mendapat permintaan yang sangat tinggi oleh stesen penyiaran tempatan. Namun, disebalik kerancakan ini, berlaku polemik hebat di antara khalayak penonton dengan para sarjana apabila banyak filem dan drama rantaian yang dihasilkan adalah melalui adaptasi daripada novel-novel cinta remaja yang tidak mempunyai nilai pemikiran yang tinggi. Mereka (pengiat seni dan industri hiburan) dituduh hanya mementingkan nilai komersial semata-mata.
Hakikatnya membikin sebuah filem adaptasi daripada novel merupakan satu proses yang cukup sukar. Apabila sesebuah novel diadaptasi ke filem maka karya itu adalah sebuah karya baharu yang menuntut alam dan pemikiran baharu melalui interpretasi pembikin filem itu sendiri. Barangkali semangat dan motifnya akan menjadi begitu berbeza daripada novel asal. Namun menurut Alan Rosental (1995), produk baru ini perlu jujur pada semangat dan emosi karya asal walaupun karya itu sudah disadur kepada medium berbeza atau teknik berbeza. Baginya, adaptasi ialah lakon layar asli, seolah lakon layar yang baru walaupun diambil daripada sumber lain. Maksudnya, karya adaptasi ini hanya mengambil semangat dan emosi karya asal sahaja. Kemudian, unsur-unsur lain diambil dan diinterpretasi oleh pembikin filem mengikut kesesuaian sehingga melahirkan karya baharu. Tegas Rosenthal lagi, “Lupakan yang asli dan cipta sesuatu yang baru”. Pandangan ini rata-rata memihak kepada mencipta yang ‘baru’ ini, pandangan ini akan mengundang rasa tidak senang novelis. Proses interpretasi ini sering meragut hak cipta penulis novel terhadap idea asal mereka yang telah ‘diperkosa’ oleh pembikin filem. Hal ini demikian kerana, proses interpretasi daripada naratif teks kepada visual tidak boleh berlaku secara mudah dan akan berlakunya proses interpretasi yang berbeza daripada tujuan asal. Menurut Dudley Andrew (1986),
“every interpretation is based on displacement, since the interpreter redirects the original object by inserting it into a new frame of references” m/s 1
Proses ini bukan sekadar memindahkan tetapi di tengah-tengahnya harus ada interpretasi baharu. Penulis novel wajar menerima hakikat bahawa novelnya akan melahirkan karya yang baharu dari pelbagai aspek. Namun, permasalahan ini masih belum ada jalan penyelesaiannya apabila timbulnya konflik untuk mengukur kejayaan dan kekuatan sesebuah karya adaptasi tersebut sama ada berpihak kepada medium novel atau filem. Kejayaan dan kekuatan sesebuah filem adaptasi bukanlah terletak pada satu faktor seperti naratif sebuah novel semata-mata, tetapi perlu melihat terhadap filemnya juga. Filem yang berbentuk visual ini memerlukan pelbagai elemen yang perlu diteliti dan dititikberatkan. Jan Bone and Ron Johnson (1997) menegaskan bahawa;
“The size of the image, the use of colour, the actore, the exciting plots and character development and the technical excellence of productions all contribute to the universal acceptance of film”. m/s 3
Oleh itu, kejayaan sesebuah filem dilihat melalui bagaimana unsur-unsur di kedua-dua media itu digembleng bersama dan fungsinya serta sejauhmana sambutan khalayak penonton terhadapnya. Walau bagaimanapun, proses adaptasi bukanlah sesuatu yang mudah. Novel dan filem merupakan dua media yang berbeza dengan mengunakan medium yang juga berbeza. Maka hasilnya juga turut berbeza. Bagi mengadunkan kedua-duanya, dalam sesebuah proses adaptasi memerlukan satu interpretasi yang baharu bagi memantapkan lagi naratif serta visualnya. Interpretasi ini menuntut pengarah dan penulis skrip untuk mencipta, mencantas, menyalin serta menyadun naratif verbal ke bentuk visual mengikut kesesuaian dalam kerja-kerja lakonan, lokasi, aspek estetik, nilai komersial, dan sebagainya. Menurut Alexander kluge(1986),
“film history seems to demonstrate that literary adaptasion always have less to offer than literature. Looking at result alone- these are two different media and for this reason their ability to produce expressive richness lies in different area- does not show the way out. One must above all go back to the common root of film and books: that is telling stories. People tell a story about something. They do this in an epic, a dramatic way, or in forms not specifically cetegorizable, always according to the circumstances. His is the proses”. M/s1
Tetapi kerja-kerja mencantas ini memerlukan ilmu. Tanpa ilmu mencantas atau menambah tersebut umpama tikus memperbaiki labu. Maka, kebebasan merombak itu bukanlah boleh dilakukan sembarangan. Hal ini demikian kerana, bahasa sebuah karya sastera adalah bahasa tulis(verbal). Oleh hal yang demikian, tidak mungkin seluruh bahasa verbal tersebut dapat dipindahkan begitu sahaja ke bentuk bahasa filem(visual). Kedua-dua bahasa ini mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dalam berkomunikasi dengan pengemarnya. Hanya bentuk komunikasi yang sama iaitu melalui unsur naratif dan kata ini sahaja yang membolehkan karya sastera seperti novel membentuk sebuah karya seni iaitu filem. Kedua-dua media ini digabung dengan cara sebahagian elemen novel digubah kepada bentuk visual termasuklah naratifnya, tema, watak dan perwatakan, latar dan sebagainya mengikut kesesuaian sesebuah filem. Jadi, kerja-kerja untuk memasukan kesemua elemen kata-kata di dalam novel ke bentuk filem semakin mudah apabila elemen tersebut dapat dizahirkan melalui bantuan media yang lain di dalam sesebuah filem. Teknik ini dikenali sebagai enunciation. Maka tidak hairanlah jika ciri sesebuah filem adalah bersifat multimedia. Namun begitu, reaksi penonton terhadap kedua-dua media ini juga bergantung kepada aspek individu iaitu latarbelakang peribadi penonton seperti yang perjelaskan oleh Peter Lehman dan Wiliam Luhr (2003),
“people respond diferently to film depending upon their gender, race,class, sexual orientation and personal bankground” m/s 5
Melalui reaksi penonton inilah yang akan menentukan hala tuju filem tersebut sama ada berjaya atau tidak. Walau sehebat manapun jalan cerita, pelakon dan teknik pengarahan serta semiografi sesebuah filem itu belum tentu dapat menawan hati penonton. Keberkesanan kombinasi kesemua elemen ini yang akan menentukan nasib sesebuah filem adaptasi. Peranan penonton ini juga mempengaruhi keberhasilan dan kejayaan sesebuah filem kerana mereka mempunyai ‘kuasa’ yang menjadi penentu dan indicator kejayaan sesebuah filem adaptasi. Manakala, filem yang baik walau betapa hebat sekalipun sumber asalnya, masih memerlukan tuntutan asasnya misalnya jalan cerita yang bagus melalui penulisan skrip. Oleh itu, kekuatan sesebuah filem adaptasi bukanlah bergantung kepada sumber asalnya, pelakon, pengarah mahupun teknik tetapi filem adaptasi bergantung kepada kemampuan filem adaptasi itu mencipta ‘gaya’ daripada novel yang diadaptasinya. Kejayaan sesebuah filem bukan terletak pada satu faktor yang kukuh memandangkan pembikinan sesebuah filem itu bergantung kepada bagaimana seluruh warga kreatif pembikinan filem itu digemblengkan.
Pada era kini, media sosial memberi pengaruh yang sangat besar dalam pelbagai aspek terutamanya industri hiburan yang sentiasa mendapat perhatian meluas daripada netizen. Selain daripada pengemar filem, peminat artis, peminat novel, penonton yang mencari hiburan kesemuanya akan memberikan reaksi yang berbeza. Namun, jika salah satunya mengatakan filem itu tidak bagus di media sosial maka secara tidak lansung sambutan terhadap filem itu kurang memberangsangkan. Oleh itu, penonton merupakan satu petunjuk yang akan menentukan sesebuah filem sebagai filem yang berjaya atau tidak. Istilah berjaya dalam konteks ini terlalu subjektif, namun dapat dikenalpasti melalui jumlah jualan tiket dan juga rating. Oleh hal yang demikian, kajian ini juga akan menjelaskan bagaimana horizon harapan penonton ini dapat ditawan oleh sesebuah filem adapatasi dengan gabungan daripada keseluruhan teknik pefileman. Contoh filem yang dikaji salah satunya adalah SAU.
Pelbagai reaksi terhadap filem ini diterima dan filem ini dikatakan kurang mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penonton. Jumlah tontonan filem ini amat kecil berbanding karya asalnya iaitu novel. Filem yang asalnya berbentuk novel ini telah diulang cetak sebanyak 14 kali setakat bulan Ogos 2013 sebelum filem adaptasi daripada novel ini ditayangkan. Jelaslah bahawa karya naratif ini sudah mempunyai peminat yang cukup ramai. Oleh hal yang demikian, sudah tentu kemunculan filem ini akan dinanti-nantikan oleh khalayak pembaca. Mereka sebagai real reader sudah menikmati karya itu melalui bacaan novel. Khalayak pembaca ini sudah membayangkan jalan cerita, watak, konflik malah turut merasai konflik dalaman yang terjadi kepada watak. Kesemua ini sudah melekat dalam minda mereka malah hidup di dalam jiwa mereka. Maka mereka menginginkan apa yang terdapat didalam bentuk kata-kata itu divisualkan ke dalam filem seperti apa yang mereka bayangkan dan inginkan di dalam minda mereka. Mereka mengharapkan bayangan itu muncul dihadapan mata mereka sendiri seperti kehidupan realiti, kadang-kadang mereka terlalu taksub sehingga menganggap kehidupan watak itu seperti kehidupan mereka sendiri. Mereka menagih agar kepuasan katarsis yang dicapai ketika membaca novel itu juga akan tercapai melalui pemaparan visual yang lebih realistik ini. Resepsi mereka dipenuhi oleh horizon harapan yang telah dibina melalui keberkesanan jalinan kata-kata didalam teks seolah-olah berkonflik dalaman jiwa mereka sendiri, bergelojak, menekan dan meresahkan. Mereka menginginkan desakan ini terluah (apabila mencapai kepuasan katarsis) setelah menonton filem. Dengan kata mudah, faktor ini menyebabkan permintaan terhadap filem dan drama adaptasi terlalu tinggi dengan sambutan yang amat memberangsangkan. Oleh itu, ramai producer yang bersaing untuk memenuhi tuntutan golongan ini (terutamanya golongan remaja) untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda. Contohnya, syarikat Pena Creative Production yang semakin aktif menerbitkan drama adaptasi rantaian daripada novel popular.
Akan tetapi, hal ini tidak direalisasikan di dalam filem SAU, kerana apa yang dibayangkan oleh pembaca itu tidak dizahirkan dengan baik seperti apa yang mereka inginkan dan impikan melalui bacaan novel. Karya filem ini akan ‘dituduh’ oleh peminat setia novel ini sebagai tidak berjaya. Jika ditinjau sejarah awal filem di Eropah, terlihat kecenderungan pengarah filem disana untuk mengadaptasi karya-karya sastera yang kurang dikenali atau kurang popular agar mereka dapat mengadaptasi secara lebih selesa dan longgar mengikut gaya interpretasi mereka sendiri. Mengadaptasi karya besar atau karya popular biasanya akan mendatangkan jangkaan tinggi tentang bagaimana rupa bentuknya di layar perak oleh penonton kerana filem sebegini tidak dapat lari daripada dikritik teruk.
4.0 Analisis adaptasi terhadap filem SAU
Prinsip yang perlu dipertimbangkan untuk mengadaptasi sesebuah novel ke bentuk filem yang perlu diamalkan oleh pengadaptasi ialah melihat kepada kesesuaian teks dan bukannya terhadap aspek popular karya asal semata. Pemilihan novel SAU adalah satu langkah bijak yang telah dilakukan oleh pihak produksi. Novel SAU adalah sebuah novel islamik kontemporari yang ringan dimana tidak terlalu cenderung memasuki psikik watak, konflik dalaman watak-watak, absurd, eksprimental, avant-garde kerana novel ini cenderung memaparkan tentang kehidupan realiti yang dialami oleh seorang remaja perempuan. Maka ia lebih mudah untuk dikembangkan melalui teknik sinematografi. Plot naratif novel yang mendatar, tidak mengalami konflik yang berat, tidak melibatkan konflik batin yang kerap dan mendalam juga memudahkan untuk divisualkan ke layar. Kecenderungan novel ini yang memuatkan babak-babak dramatik, aksi fizikal yang ringan, latar yang jelas dan pekembangan watak yang banyak didominasikan oleh dialog dan tindakan. Hal ini telah diakui oleh pengarah filem ini sendiri iaitu Ghaz Abu Bakar. Menurut beliau, novel ini telah dipindahkan ke bentuk komedi ringan yang secara langsung telah diolah oleh beliau mengikut serba sedikit watak perwatakan yang sudah jelas difahami dalam novel untuk dibawa ke filem contohnya watak Alisa. Beliau juga menerapkan latarbelakang yang islamik dalam genre cinta remaja. Hal ini disokong oleh Adi Putra dengan mengatakan bahawa novel telah memberikan gambaran ciri-ciri tentang watak Ustaz itu sendiri, beliau hanya bertindak untuk menjiwai bagaimana watak Ustaz itu mengikut interpretasinya sendiri. Malahan, novel yang mudah difahami dan mempunyai konteks yang tersendiri ini telah membantu Adi Putra untuk merencana bagaimana tempo lakonan filem tersebut dengan baik.
Namun, kesilapam besar yang dapat dikenalpasti di dalam filem ini apabila penulis lakon layar dan pengarah telah membuang naratif asal yang sepatutnya harus diwujudkan di dalam filem. Terdapat banyak babak yang lebih menarik telah dibuang. Mereka bagaikan tersilap memilih adegan di dalam novel. Filem ini juga didapati banyak mengandungi adegan yang tidak penting tetapi ditonjolkan di dalam filem ini. Manakala adegan yang lebih baik dibuang. Oleh sebab itu filem ini telah ‘tergelincir’ bukan dari sudut naratifnya tetapi dari sudut visualnya sehingga menyebabkan filem ini dirasai agak ‘membosankan’ apabila wujudnya scene-scene yang tidak tepat dan penting ini. Maka, ‘semangat’ dan ‘roh’ karya asal tidak dapat dipertontonkan dengan baik. Scene yang tidak penting ini telah mencacatkan jalan cerita filem malah merugikan durasi filem yang sememangnya amat singkat sedangkan scene tersebut tidak membantu dan tidak memberikan apa-apa makna yang mendorong kepada kelancaran jalan cerita. Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan filem ini gagal menawan hati penonton untuk terus menatap layar. Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa sesebuah filem adaptasi biasanya tidak dapat mengelak daripada membuang beberapa sudut bahan asalnya.
Manakala, latar masa yang panjang di dalam novel menyebabkan pembikin filem itu perlu mencari satu kaedah untuk memampatkan peredaran masa, perjalanan cerita yang panjang, dan penceritaan yang meleret-leret tersebut dalam satu scene filem yang berdurasi tidak sampai satu minit. Dengan mudah, mereka membuang mana-mana bahagian yang dirasakan tidak penting. Tetapi, melalui proses enunciation iaitu sesuatu yang tidak dapat dipindahkan secara langsung ke bentuk filem tetapi boleh diaplikasi dengan mengunakan media yang tertentu, yang terdapat di dalam teknik pefileman. Oleh itu, elemen yang sukar itu tidak perlu dibuang tetapi perlu diubahsuai, diadun atau disadur dengan bantuan media lain seperti muzik, audio, teknik kamera dan sebagainya. Jika sesuatu yang sukar itu dapat dilakukan sudah tentu proses ini akan memberi kekuatan kepada filem ini. Malahan peringkat enunciation ini akan dilakukan dengan pelbagai teknik yang akan turut melahirkan pelbagai makna yang ingin disampaikan oleh filem terutamanya untuk mengekalkan naratif asal sesebuah novel.
Bagi mengambarkan peredaran masa tersebut, filem SAU telah meniru gaya penulisan novel dengan menyertakan caption “2 minggu sebelum..”
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image002.jpg)
Gambar 1 : Teknik Caption (Sumber: Filem Suami Aku Ustaz,2015)
Tetapi teknik ini dirasakan ketinggalan zaman, kerana ia menjadi kegemaran pembikin filem terdahulu, selain seolah-olah menunjukkan filem moden tidak mampu menjalinkan plot dengan baik hingga terpaksa menyelitkan teknik ‘pemberitahuan’ tersebut. Berdasarkan perkembangan teknologi zaman kini, peredaran masa seperti ini dapat divisualkan melalui kaedah pencahayaan, pengerakan kamera ataupun melalui kesan visual. Contohnya seperti filem Hachiko: A Dog’s Story (2009) yang telah menvisualkan peredaran masa berpuluh tahun dengan hanya mengunakan teknik point of view terhadap sebatang pokok yang mengalami perubahan musim dalam satu scene yang berdurasi beberapa saat. Teknik begini lebih memukau penonton malah berjaya membentuk nilai tafsiran dan pemikiran. Sifat filem yang terlalu pasif dan sehala tanpa memaksa penonton untuk berfikir sejenak akan menyebabkan filem itu agak membosankan. Tetapi malangnya, sesetengah penonton(golongan remaja), tidak mahu hal ini berlaku kerana mereka tidak mahu berinteraksi dengan filem adaptasi terutamanya daripada novel popular. Mereka hanya ingin menerima apa yang dipaparkan, mereka hanya dahagakan bayangan dan impian mereka disempurnakan oleh filem adaptasi secara sehala.
Filem SAU ini juga berkisah tentang apa yang telah berlaku pada masa lepas melalui teknik imbas kembali. Imbas kembali didalam filem ini berlaku pada pemulaan cerita dimana watak Ustaz Hafiz muncul seorang diri bermonolog kemudian cut to kepada scene baru dengan mengunakan teknik big close up pada joran kemudian naratif filem bermula dengan menonjolkan watak Alisa membawa bot. Apabila plot cerita mulai menemui peleraian, adegan monolog Ustaz Hafiz diresume semula bersama watak Alisa yang sedang menangis. Imbas kembali yang tidak terlalu kerap ini dikerjakan dengan lancar oleh krew produksi. Kelancaran teknik ini menyebabkan keseluruhan perjalanan filem tersebut tidak terganggu. Andai sebaliknya, kontinuiti penonton mudah tergugat seterusnya akan melarikan penumpuan penonton.
Dari segi perbandingan naratif novel dengan filem, hanya separuh jalan cerita di dalam novel telah diangkat oleh pengarah ke layar filem. Tidak dapat dinafikan bahawa novel yang tebal akan memberikan masalah kepada pengadaptasi, contohnya novel SAU ini sangat tebal iaitu sebanyak 583 mukasurat namun jalan cerita yang diadaptasi ke filem hanya mengambil lebih kurang 153 mukasurat dihadapan sahaja kemudian ditambah dengan konflik dan peleraian cerita yang diinterpretasikan oleh pengarah. Memandangkan filem hanya berdurasi satu jam setengah semestinya semua wataknya tidak dapat ditampilkan, semua konflik tidak dapat ditonjolkan, dikekalkan, diadun dan semua subplot tidak dapat dimasukkan. Tetapi pemasalahan ini bukanlah menjadi satu alasan yang kukuh kerana pengadaptasi dan pengarah seharusnya dapat meneliti isi kandungan novel dengan lebih teliti seterusnya mengenalpasti apa yang penting dan apa yang tidak penting, yang mana perlu dikekalkan, dibuang atau ditambah. Mereka berhak untuk membuat interpretasi mereka namun perlu diingatkan bahawa adapatasi sebuah karya popular yang dikenali tidak semudah yang disangkakan. Pengadaptasi dan pengarah perlu mencungkil bahagian-bahagian novel yang menjadi kekuatan dalam novel itu bukannya mengambil jalan mudah dengan cara mengambil latarbelakangnya yang islamik dan perwatakan semata. Hal ini ditegaskan oleh Rosenthal (1995), “produk baharu ini perlu jujur pada semangat dan emosi karya asal walaupun karya itu sudah tersalur kepada medium berbeza atau teknik yang berbeza”. Di dalam filem ini, pengarah dan pengadaptasi gagal mengesan bahagian-bahagian yang memberi semangat dan emosi dalam karya asal tersebut. Sebetulnya, terdapat banyak adegan didalam novel yang lebih menarik untuk dicungkil dan divisualkan ke bentuk filem. Contohya kehidupan Alisa semasa di Universiti. Kegagalan filem ini lagi dilihat apabila, plot ceritanya hanya berkisar di zaman sekolah Alisa yang mengalami konflik yang biasa sahaja. Cubaan pengarah memasukan adegan rumah Alisa diceroboh dan Alisa dicekup masih belum kuat untuk mengambarkan ‘semangat dan emosi’ seperti yang digambarkan dalam babak yang ada didalam novel. Adegan didalam filem ini tidak cukup kuat untuk meraih kontinuiti dan penumpuan penonton.
Penyelesaiannya, pengadaptasi perlu memilih adegan-adegan yang berkesan sahaja, mengekalkan watak-watak yang penting, dan seterusnya mengambil konflik-konflik yang utama dan mantap sahaja. Dalam hal ini, pengadaptasi harus cukup selektif dalam menentukan yang mana ciri primer dan yang mana ciri sekunder. Jika ini tidak berlaku dengan berhati-hati, keseluruhan pakej pembinaan semulanya itu hanya akan menjadi prototaip yang tidak melepasi kawalan kualiti yang sepatutnya. Permasalahn ini tidak terhenti disini sahaja apabila sesebuah filem yang diadaptasi daripada novel popular yang sudah memiliki peminatnya yang tersendiri. Bagi pembaca novel, membaca novel akan membentuk horizon harapan yang utuh di dalam minda lantas dirasai oleh pancaindera. Proses ini berlaku apabila setiap kata-kata di dalam novel membentuk imej mental yang aktif di dalam minda pembaca. Maka besarlah harapan mereka apabila menonton filem agar apa yang mereka angankan menjadi kenyataan di dalam filem. Namun, bagi penonton yang tidak membaca novel asal, mereka lebih mudah menerima apa yang dipaparkan di skrin. Apa yang terjadi terhadap filem SAU ialah pengarah berjaya menvisualkan kehidupan Alisa dengan sepenuhnya mengikut latar realiti tetapi masih belum mampu mengangkat ‘roh’ novel ini ke dalam filem. Filem yang tiada roh seperti ini kelihatan kaku. Maka roh itu tidak diresapi oleh jiwa penonton. Seperti yang telah dijelaskan, apabila roh ini gagal diresapi oleh pancaindera penonton maka filem ini akan ‘dituduh’ sebagai filem yang gagal.
Seterusnya, filem ini hanya bersifat sehala dan lurus tanpa mengesa penonton untuk berfikir. Oleh itu, adalah sangat penting bagi seorang pengadaptasi untuk mengkaji semula galur kontinuiti sebuah novel itu sama ada secara kronologi atau sebaliknya. Biasanya pula, sebuah novel yang baik dan mencabar tidak diceritakan secara lurus sebaliknya diselang-selikan dengan imbas kembali, imbas muka dan aliran kesedaran yang mencabar tetapi jelas dan terkawal. Hal ini tidak menjadi masalah besar terhadap novel kerana fungsi kata sangatlah bersifat fleksibel dan efektif untuk mengambarkan sesuatu. Dalam memastikan kontinuti filem tidak terganggu, mungkin beberapa adegan dan watak dalam novel perlu dilambatkan atau dipercepatkan kehadirannya. Namun, hal ini tidak berlaku di dalam filem SAU kerana semua watak dan jalan cerita telah dimunculkan bersama-sama sehingga plotnya kelihatan lurus dan mendatar. Hal ini amat baik jika pengarah hanya mensasarkan kepada tontonan remaja dan kanak-kanak. Bagi golongan dewasa atau golongan yang faham tentang filem, jalan yang lurus begini amat membosankan. Kehadiran konflik juga tidak mendebarkan malah sudah dapat dijangkakan melalui dialog dan scene yang sengaja diwujudkan untuk menjelaskan konflik yang bakal terjadi. Contohya seperti adegan beberapa warga tua berbual di warung berkaitan dengan masalah perompakan yang sering berlaku di kawasan kampung. Di sini penonton dapat menjangkakan apa yang akan berlaku terhadap watak Alisa setelah ditinggalkan oleh kedua orang tuannya.
Maka, plotnya akan menjadi mendatar, tiada aspek suspens dan mengujakan yang dapat menarik minat penonton kerana semuanya telah dipaparkan oleh filem. Disamping itu juga terdapat scene -scene yang tidak penting ditonjolkan di dalam filem contohnya watak Alisa dan Johan bertemu di kedai mamak semata-mata untuk Alisa mengambil tugasan sekolah daripada Johan, adegan Alisa bertemu Johan di sawah, adegan Alisa melihat Ustaz Hafiz bersama warga tua di warung dan sebagainya. Adegan ini dirasakan tidak penting dan tidak memberikan apa-apa makna yang tersirat mahupun mengerakan jalan cerita. Hal ini demikian kerana, di dalam novel terdapat banyak lagi babak-babak yang menarik dan berdaya kuat untuk menarik minat penonton. Pemadatan yang dilakukan oleh pengadaptasi dan pengarah ternyata gagal mengesan kekuatan didalam novel untuk ditonjolkan di dalam filem.
Dari segi pemilihan latar, latar ini memainkan peranan penting dalam novel dan filem. Latar membentangkan konteks fizikal dan emosi terhadap cerita dan membantu pembentukan latar belakang atau pembentukan ruang dan masa watak-watak dalam sesuatu filem. Latar yang tepat dapat menguatkan lagi mise-en-scene, seterusnya membantu aspek sinematografi sesebuah filem. Pemilihan latar yang tepat juga dapat mengheret makna yang lebih jelas dan dalam, tanpa apa-apa bantuan acting daripada pelakon, mahupun bantuan dialog. Seterusnya latar akan mencipta atmosfera dan mood yang bakal bertindak sebagai agen kognitif persuasif terhadap penonton. Salah satu kesalahan di dalam filem SAU dapat dikenalpasti melalui elemen ini. Lebih teruk lagi apabila adegan tersebut memakai latar yang salah, contohnya adegan orang kampung di kedai mamak. Di dalam filem, pengarah cuba mengekalkan salah satu latar cerita di dalam novel iaitu latar tempat salah satunya ialah di kedai mamak. Pengarah cuba untuk mengekalkan latar ini di dalam filem. Namun, malang sekali apabila latar ini gagal ditonjolkan dengan tepat. Ciri-ciri sebuah kedai mamak itu bagaikan tersilap atau terlepas pandang atau mungkin juga krew produksi tidak menyedarinya. Di dalam filem, kedai mamak itu ditonjolkan seperti warung kopi Melayu. Hal ini dikesan apabila hanya orang Melayu dikedai tersebut dan tidak kelihatan langsung wajah mamak disitu, biasanya untuk mengambarkan kedai mamak pengarah akan menonjolkan aksi/watak mamak yang sedang mengambil pesanan, mengelap meja atau sedang mengibar roti canai. Tetapi di dalam filem ini ditonjolkan aksi golongan tua Melayu sedang bermain dam, dam adalah budaya orang Melayu dan bukannya budaya masyarakat Indiamuslim. Maka, latar ini tidak mampu mencipta atmosfera dan mood yang bertindak sebagai agen untuk memenuhi kognitif persuasif penonton.
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image004.jpg)
Gambar 2 :Golongan tua Melayu yang bermain dam dalam filem SAU.
Walaupun begitu, pengarah hebat jepun iaitu Kurosawa telah mengadaptasi novel karya Shakespeare dengan cara memindahkan latar barat kepada latar dan pelakon Jepun serta budaya Jepun dengan baik sehingga karya beliau memenangi anugerah Antarabangsa. Disini perlu ditekankan sekali lagi bahawa faktor kekuatan dan kejayaan sesebuah filem adapatasi bukan kerana teknik naratif mahupun teknik semiografi tetapi kejayaan itu terlandaskan bagaimana unsur ini digabung, diadun dan digemblengkan bersama-sama. Lebih-lebih lagi apabila pembikin filem itu sendiri peka terhadap prinsip kesusasteraan dan analisa dramatik yang melihat manusia dan kemanusiaan dari sudut filem. Pandangan ini disuarakan oleh Dr Anuar Nor Arai semasa diskusi sastera pada 29 Mei 1993. Berbalik kepada ciri filem adaptasi yang baik ialah memaparkan emosi dan semangat novel ke bentuk filem untuk memenuhi keinginan peminat karya popular iaitu golongan remaja. Namun kesilapan dalam filem SAU dalam pemilihan latar ini telah mencacatkan imej dan konteks sebenar sebuah novel dan filem.
Walaupun novel ini diubah dan dipadatkan, namun pengadaptasi cuba untuk bersikap setia kepada bentuk asalnya. Sebahagian filem ini cuba mengekalkan watak-watak asal seperti watak ibu ayah Alisa, Umi, Johan, Wati, Ustaz Hafiz dan Cikgu Liana. Walaupun sebahagian watak dibuang iaitu Farhan, Sarah, dan Naim. Malah judul juga dikekalkan memandangkan judul novel ini telah lebih awal bertapak dan menetap dalam ingatan pembaca. Dalam tarikan yang sama, judul yang sama tentulah akan membangkitkan semula ingatan ketika membacanya, lalu mampu atau mungkin menarik pembaca tersebut ke pawagam dan sebaliknya, apabila penonton pula berpusu-pusu ke kedai buku untuk mendapatkan naskah novel tersebut. Unsur persamaan dan kelestarian ini juga dilakukan dengan andaian bahawa kebolehan penonton seolah-olah lebih rendah daripada pembaca seperti yang telah dijelaskan. Hal ini tentu ada benar dan tidaknya. Adaptasi menyebabkan dialog-dialog dalam novel terpaksa dipendekkan, dipadatkan, malah diimprovisasi agar selari dengan zamannya, selain diberi sentuhan baru agar kedengaran seperti dialog yang hidup. Hal ini berlaku apabila berlakunya perubahan dialog yang dituturkan oleh watak Ustaz Hafiz kepada Alisa di dalam filem SAU (2015):
“Abang terima kerana Allah S.W.T, kita selamat diijabkabulkan maknanya jodoh abang memang dengan Alisa. Itu maksud abang, kerana Allah. Kalau Allah tak izinkan tak khawin kita. Bukan disebabkan abang ustaz, Allah berpihak kepada Abang. Allah itu adil. Jodoh, maut semua kerja Dia”
Di dalam novel, dialog ini langsung tidak ada. Kecuali ayat “Abang terima kerana Allah” yang dituturkan oleh Ustaz Hafiz ketika menjawab soalan Alisa yang inginkan penjelasan tentang penyebab Ustaz Hafiz menerimanya sebagai isteri. Ustaz Hafiz diceritakan di dalam novel sudah sememangnya menyukai Alisa sejak kecil. Gula-gula Choclaira adalah simbol yang melambangkan perasaan Ustaz Hafiz itu. Malahan, dirasakan dialog ini kurang mantap dan menyengat. Dialog yang dituturkan oleh Adi Putra ini tidak mampu meruntum dan membeli jiwa penonton. Natijahnya, emosi yang cuba disampaikan oleh beliau tidak sama-sama dirasai dan dijiwai oleh penonton. Namun begitu, teknik close up telah menyelamatkan dialog tersebut daripada terus kaku. Teknik close up secara dekat wajah Adi Putra dengan merakamkan mimik muka ketika beliau menzahirkan dialog tersebut telah menyebabkan dialognya kedengaran lebih hidup dan dirasai oleh penonton. Konflik dalaman watak juga diselami melalui mimik muka dengan kata mudah, penonton dapat memasuki psikik watak, juga menelusuri konflik dalaman watak seterusnya membantu penonton memahami pemikiran dan perasaan watak tersebut. Kemudian, dibantu oleh teknik zoom out, dimana kesan optikal yang diubah melalui panjang focal semasa shot menguatkan lagi scene tersebut. Tidak ketingalan atonasi suara Adi Putra yang lembut dan mendatar menambahkan lagi aroma filem ini, sedap didengar dan dialog yang mudah difahami.
Gambar 3:
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image006.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image008.jpg)
frame 1 frame 2
Teknik close up dan zoom out. (Sumber: Filem Suami Aku Ustaz,2015)
Walaupun begitu, pemaparan watak utama dan bagaimana pembawaan perwatakannya di dalam filem lazimnya perlu menyamai sebagaimana yang telah dipotretkan terlebih dahulu oleh novelisnya. Hal ini menjadi satu cabaran besar kepada pemilihan pelakon. Contohnya dalam filem ini pembawaan perwatakan setiap watak tidak diubah sedikitpun kecuali watak Ustaz Hafiz yang berlaku sedikit perubahan. Melalui pengakuan Adi Putra sendiri, beliau cuba untuk memaksa diri melakonkan watak muda. Melalui bacaan novel, beliau cuba menjiwai dan memahami setiap ciri seorang ustaz melalui watak Ustaz Hafiz serta mentafsirkan bagaimana Ustaz Hafiz itu melalui pemahaman beliau sendiri. Manakala, beliau memilih jalan untuk mentranformasikan watak Ustaz Hafiz kepada perwatakan yang lebih trendy untuk memenuhi citarasa Alisa sebagai remaja dengan kata mudah memenuhi citarasa penonton remaja perempuan.
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image010.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image012.jpg)
Gambar 4: Wajah Ustaz Hafiz apabila ditranformasikan oleh Adi Putra
(Sumber: Filem Suami Aku Ustaz,2015)
Tidak dapat dinafikan bahawa Adi Putra merupakan pelakon yang tidak asing dalam dunia lakonan. Beliau telah banyak melakonkan watak-watak hero dan antagonis di dalam filem seperti Kl Gangster(2011), Aku Terima Nikahnya(2012), Langar(2013), Balistik (2014) dan banyak lagi. Namun kehebatan beliau tidak terlalu menonjol di dalam filem ini. Secara jujurnya, watak Ustaz Hafiz didalam novel dianggarkan berumur 25 tahun sedangkan umur sebenar Adi Putra sudah menjangkau 40an. Disini dilihat terdapatnya kejangalan terutamanya pada imej dan pembawaan watak Ustaz Hafiz. Di dalam filem, Adi Putra kelihatan memaksa diri untuk kelihatan muda dan romantik seperti digambarkan di dalam novel sedangkan hakikatnya beliau tidak mampu dan tidak sesuai memegang watak muda. Keketaraan amat jelas sekali apabila pembaca sebenarnya sudah membayangkan watak Ustaz Hafiz itu seperti lelaki muda yang berwajah comel, keanak-anakan, kacak tetapi matang dan tegas. Adi Putra tidak dapat membawa perwatakan begitu. Mungkin watak ini lebih sesuai dilakonkan oleh watak hero drama rantaian yang diadaptasi seperti Aeril Zafril, Shahril Ridzwan, Shahrul Syukri, Fattah Amin dan sebagainya. Hal ini juga berlaku terhadap filem box office iaitu Ombak Rindu (2011) apabila pengarah terpaksa memilih Maya Karim untuk melakonkan watak Izzah yang berumur 19tahun. Perkara ini telah menjadi polemik besar apabila dikatakan Maya Karim tidak sesuai melakonkan watak itu dengan usianya yang telah dewasa.
Namun begitu, pemilihan untuk watak Alisa yang dilakonkan oleh Nora Danish adalah satu pilihan yang sangat tepat. Walaupun beliau sudah menjangkau umur 30an namun wajah dan perwatakan beliau masih kelihatan keanak-anakan. Maka tepat sekali apabila Nora Danish kelihatan remaja ketika memakai baju sekolah dengan percakapan yang kasar dan kurang matang, sesuai dengan perwatakan remaja perempuan yang berumur 17tahun. Hakikat ini dipersetujui oleh pengarah iaitu Ghaz Abu Bakar. Menurut beliau, pemilihan Nora Danish sebagai watak Alisa dipersetujui ramai pihak dan sememangnya perwatakan beliau sesuai untuk memegang watak remaja. Ditambah pula dengan peminat yang sedia ada Nora Danish yang begitu ramai. Maka faktor ini dipercayai akan membawa keuntungan kepada filem terbabit.
Gambar 5:
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image014.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image016.jpg)
Adi Putra sebagai Ustaz Hafiz(25 tahun) Nora Danish sebagai Alisa (17tahun)
(Sumber: google image)
Manakala bagi watak Johan yang dipegang oleh Izue Islam tidak berlaku perubahan dan perkara ini diakui sendiri oleh beliau. Menurut beliau, pembawaan watak Johan adalah mengikut kepada perwatakan sebenar yang ada di dalam novel tanpa mengubahnya.
Dalam dunia hiburan, pemilihan pelakon adalah faktor penting yang perlu dititikberatkan. Bagi filem adaptasi karya popular, para pelakonnya mestilah tepat dengan apa yang telah ditulis oleh novelis asal. Hal ini bertujuan agar penonton tidak merasa kecewa apabila apa yang mereka impikan dan angankan ketika membaca novel tidak tercapai malah meleset. Apatah lagi dalam dunia filem yang sentiasa menagih nilai ‘bintang’, populariti dan glamor, dan sering pula ciri ini didahulukan daripada kemampuan lakonan sebenar. Malah untuk merealisasikan fenomena ‘popular’ itu, sesetengah adegan pula barangkali sengaja diadakan hanya untuk menampilkan kebolehan pelakon utama ini, sedangkan adegan tersebut tiada di dalam novel. Contohnya, aksi Nora Danish membawa bot yang sebetulnya tiada langsung aksi dan adegan tersebut di dalam novel. Sebagai pembikin filem tidak perlulah mengambil kesempatan ini untuk mengeksploitasi para pelakon mereka, atau pelakon sendiri berasa gembira untuk mempamerkan bakat yang kurang kena mengena dengan kehendak cerita. Walaupun mereka berangapan bahawa aksi tersebut adalah berniat untuk memperkuatkan jalan cerita, memperkenalkan watak tetapi tidak perlulah menjejaskan interpretasi yang sebenar terhadap karya asal. Natijahnya, filem ini dilihat janggal dan pelik. Nora Danish sama sekali tidak sesuai melakukan aksi begini dengan keadaan perwatakan dirinya yang kebudakan dan manja. Watak wanita yang membawa bot haruslah kasar bahasa badannya. Walaupun tujuannya adalah untuk memperkenalkan perwatakan Alisa tetapi cukuplah dengan adegan Alisa sedang memancing. Adegan ini sudah mencukupi untuk menerangkan pembawaan watak Alisa seperti mana yang digambarkan oleh novel.
Gambar 6:
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image018.jpg)
Aksi Alisa membawa bot. (sumber: The making of Suami Aku Ustaz via Youtube)
Kegagalan filem ini dapat dilihat lagi apabila pembikin filem gagal mengenalpasti babak yang lebih menarik untuk diketengahkan, malahan gagal memaparkan unsur visual yang lebih bermutu. Contoh pemaparan visual point of view ketika Alisa mengayuh basikal ketika pulang memancing, melalui sawah, kedai kopi, adegan Alisa bersama Johan ditepi kolam semuanya memakai lokasi yang tidak menarik dengan kesan visual seperti teknik pencahayaan dan pergerakan kamera, yang tidak cantik dan tidak memberi makna. Manakala adegan Johan melayani perasaan apabila mengetahui Alisa sudah berkahwin juga tidak meruntun perasaan penonton untuk sama-sama merasainya. Dimana Johan berjalan seorang diri diwaktu malam, diatas jambatan. Adegan itu dirasakan tidak kena dan tidak kuat untuk mempamerkan kekecewaan dan konflik dalaman watak. Contoh yang baik dapat diambil melalui adegan di dalam filem Lagenda Budak Setan 1 (2010). Kaisyha tertunduk dan terduduk diperdu pohon, dengan kamera yang di shot keatas langit yang cerah tetapi berbalam ditutupi dedaun pokok, diiringi oleh kicauan burung gagak. Adegan ini dianggap lebih terkesan dijiwa penonton sehingga dapat dirasai konflik dalaman dan kesedihan yang dirasai watak. Hal inilah yang diinginkan supaya hadir di dalam filem SAU. Hal ini juga berlaku sekali lagi semasa adegan Ustaz Hafiz mengaku tentang hubungannya dengan Alisa dihadapan Cikgu Liana dan Johan. Reaksi watak mereka kelihatan bersahaja tanpa sentuhan emosi mahupun teknik audio. Adegan beremosi sebegini sepatutnya disertakan(insert) dengan audio bernada sentimental supaya pergolakan dalam watak dapat dirasai oleh penonton.
Namun begitu, filem SAU ini berbentuk komedi romatik berkisarkan tentang kisah cinta remaja. Hal ini adalah salah satu pengaruh sosiobudaya remaja zaman kini yang inginkan konflik yang secara minima dan ditamatkan dengan pengakhiran bahagia untuk memenuhi keinginan dan citarasa remaja. Hakikat ini diakui oleh Adi Putra apabila beliau mentransformkan watak Ustaz Hafiz untuk memenuhi keingin watak Alisa dengan mengatakan :
“kalau saya boleh menerima, diharap diluar sana diusia yang remaja ataupun yang kecil pun boleh menerima” (Adi Putra,2015)
Malahan, penonton tidak ingin menyaksikan filem yang berat dari segi naratifnya kerana mereka adalah golongan yang hanya inginkan hiburan semata-mata dan tidak suka berinterpretasi seperti pembaca ketika membaca novel. Pembaca mempunyai ruangan dan masa personal untuk berinterpretasi, berimaginasi dan menrepresentasi terhadap novel. Hal ini tidak sama berlaku terhadap penonton yang menonton filem. Mereka hanya datang menonton dan menerima apa yang dipersembahkan. Faktor inilah yang membezakan proses pembikinan filem dengan penulisan novel. Hal ini diperkuatkan lagi apabila naratif asalnya juga berbentuk naratif ringan. Sebagai karya popular biasanya menyisipkan konflik yang minima sesuai sebagai novel popular yang asalnya telah diminati ramai. Oleh kerana itu, ramai pengarah yang mengatakan mengadaptasi karya sastera yang sudah diminati adalah bukan sesuatu perkara mudah seperti diakui oleh pengarah hebat Sabri Yunus yang telah mengadptasi novel bernilai tinggi seperti Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman(2013). Beliau menambah,
“Saya akui ada juga yang tidak suka dengan apa yang saya tambah dan hasilkan melalui drama HHTSS. Namun, saya boleh berpuas hati dengan hasilnya. Adaptasi daripada novel ke skrip memang ternyata tiada masalah tetapi daripada skrip ke bentuk drama merupakan cabaran besar. Banyak penonton hanya menumpukan kepada pelakon dan cerita sahaja, bahasa filem mereka semua tidak peduli. Barangkali pengarah yang menghasilkan karya adaptasi daripada novel popular tiada masalah tetapi untuk adaptasi novel besar seperti ini memang cukup sukar” (Artikel Utusan Melayu online, 15 Jun 2014)
Kesimpulannya, mengikut data daripada Perbadanan Filem Nasional Malaysia(FINAS), Filem SAU mencatat jumlah kutipan yang terendah berbanding kutipan filem adaptasi yang lain selama empat tahun tayangan.
Gambar 7:
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image020.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image022.jpg)
(Maklumat lanjut sila rujuk lampiran 1)
Filem SAU gagal menyaingi filem adaptasi yang lain, kegagalan ini adalah kegagalan terburuk dalam sejarah filem adaptasi novel popular selama empat tahun tayangan. Maka jelaslah, segala faktor yang telah diterangkan diatas merupakan penyebab yang dapat dikenalpasti sebagai punca filem ini tidak mendapat sambutan yang mengalakan daripada khalayak pembaca dan penonton.
5.0 Kesimpulan
Senario filem adaptasi bukanlah sesuatu yang asing pada zaman kini. Fenomena ini telah lama dikaji dan diselidiki oleh golongan sarjana di Barat mahupun di Asia. Aspek sejauhmana filem itu setia terhadap novel sudah terlalu banyak diperdebatkan. Kajian ini hanya tertumpu kepada interpretasi dengan interpretasi. Kesimpulannya, semua aspek di dalam filem perlu diadun secara rapi dan sistematik. Kesemua elemen ini perlu bersatu untuk menguatkan naratif sesebuah filem. Hasilnya sebuah naratif yang kurang baik tetapi diadun dengan elemen ini dengan teratur maka cerahlah peluang filem tersebut untuk meraih rating tertinggi dan sebaliknya. Kekuatan sesebuah filem adaptasi bukanlah bergantung kepada sejuahmana populariti novel dan novelis itu tetapi juga bergantung kepada industri pefileman sama ada pelakon, sinematografi, pengarah atau sebagainya. Kejayaan sesebuah filem adalah terletak pada aras bagaimana unsur-unsur ini digembleng bersama-sama. Memandangkan filem adalah sebuah seni yang berbeza dengan sastera terutamananya novel maka hasilnya juga adalah berbeza daripada bentuk asal. Namun, kesamaaan naratif antara kedua-dua media ini menjadi panduan dan pengikat agar filem tidak terus terasing daripada jalan cerita sebenar yang telah dahulu lekat dalam minda pembaca. Hal ini kerana pembaca novel adalah indicator yang menjadi penentu kejayaan terhadap hasil terakhir sesebuah filem adaptasi. Aspek senimatografi, tempo lakonan, dan naratif perlu bergabung bersama untuk menghasilkan kejayaan yang terbaik.
6.0 Rujukan
Jan Bone, Ron Johnson. 5th ed (1997). Understanding the film an introduction to film appreciation . USA: NTC Publishing Group
Hannah Dhaniyah. 14th ed (2013). Suami Aku Ustaz. Selangor : Karya Seni Production.
Karya Seni Production, Ghaz Abu Bakar, Hannah Dhaniyah (2015). Filem “Suami Aku Ustaz” dalam http://myflm4u.pw/2015/06/suami-aku-ustaz-episod-1/ dicapai pada November 2015.
Karya Seni Production(2015). “The Making of Suami Aku Ustaz” dalam youtube capaian pada November 2015.
Peter Lehman, William Luhr. 2th ed (2003). Thinking about movies: Watching Questioning, Enjoying. UK : Blackwell Publishing.
Suhaimi Abdul Aziz. (2011). Laskar Pelangi: Satu Penelitian Adaptasi Novel Ke Filem. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Syd Field,terj Raja Omar Ibrahim. (1990). Lakon Layar: Asas Penulisan Skrip. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
UM.edu.( ).Bab1:Analisis definisi dan Konsep adaptasi dalam http://studentsrepo.um.edu.my /681/2/BAB1.pdf di capai pada November 2015.
UM.edu.( ).Bab3:Analisis prinsip adaptasi novel ke filem dalam http://studentsrepo.um.edu.my/681/4/ BAB3.pdf dicapai pada November 2015.
Rentschler, E. (1986). German film and literature: Adaptations and transformations, New York & London : Methuen
Rosenthal, Alan. (1955).Writing Docudrama : Dramatizing Reality for Film and Tv . Bostan : Focal Press.
Internet
Laman web Perbadanan Filem Nasional Malaysia, http://www.finas.gov.my/index.php?mod=industry&sub=cereka) Dicapai pada November 2015
Artikel Utusan Melayu http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sastera/20140615/sa_01/ Adaptasi-bukan-menyalin-novel#ixzz3rLZfUZZS dicapai pada November 2015
Lampiran 1
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image023.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image025.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image026.jpg)
Tayangan filem adaptasi tahun 2014
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image028.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image030.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image032.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image034.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image036.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image038.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image040.jpg)
![](file:///C:/Users/ROSNLI~1/AppData/Local/Temp/msohtmlclip1/01/clip_image042.jpg)
(sumber : Laman web FINAS : http://www.finas.gov.my/index.php?mod=industry&sub=cereka)
oleh : Siti roslinda binti abdul rashid, sarjana sastera usm
Glosori
CUT BACK TO = perpindahan adegan untuk kembali ke babak asal
C.U (CLOSE UP) = rakaman gambar dalam jarak yang dekat.
BCU (BIG CLOSE UP) /EXTREME CLOSE UP= rakaman gambar dengan jarak paling dekat.
CUT TO = perpindahan dari satu adegan ke satu adegan
RESUME = ulang semula, atau digunakan untuk ambil semula babak yang sebelum ini.
ZOOM OUT= kesan optikal yang diubah melalui panjang focal semasa shot, kanta direka khas untuk mengubah panjang focal. Kesannya akan menghasilkan frame semakin besar tapi tidak mengubah sudut kamera, yang bergerak hanyalah fokus kamera sahaja.