Tuesday, 20 June 2017

DEFINISI KESUSASTERAAN

Kesusasteraan menurut Ali Ahmad (1997:3), ialah definisi kesusasteraan selalunya dihubungkan dengan asal usul perkataan kesusateraan. Perkataan “sastera” berasal daripada bahasa Sanskrit castra, yang disebut syastra iaitu yang bermaksud kitab suci. Susastra member erti seni sastera atau seni bahasa, dan secara umumnya dimaksudkan persuratan. Kesusasteraan dalam bahasa Melayu menurut Harun Mat Piah (2000:1), sama ertinya dengan literature dalam bahasa Inggeris. Kata literature dalam bahasa Inggeris berkembang daripada kata Latin iaitu Literatura yang berasal daripada kata litera yang bermakna kata atau abjad (letter). Literatura itu sendiri adalah terjemahan daripada kata Yunani grammatika yang berasal daripada kata gramma yang juga bermakna huruf atau abjad. Dalam bentuk asalnya kata literatura digunakan untuk tatabahasa dan puisi. Oleh itu, seorang literatus adalah orang yang mahir dalam tatabahasa dan puisi. Namun begitu, makna literature dalam bahasa Eropah moden bukan sahaja merujuk kepada tatabahasa dan puisi tetapi merangkumi segala sesuatu yang bertulis atau penggunaan bahasa dalam bentuk yang bertulis. Perkembangan sastera Indonesia telah bermula sejak sekitar awal abad ke-18 lagi dan sehingga sekarang sastera Indonesia terus berkembang. Norhayati Ibrahim (2012:72) menyatakan bahawa Jalur perkembangan kesusasteraan Indonesia berhubung rapat dengan perkembangan yang berlaku dalam sosiobudaya masyarakat itu sendiri. Perkembangan ini mencakupi aspek pendidikan, ekonomi dan politik kesusasteraan. Antara pengarang awal di Indonesia ialah Hamzah Fansuri serta Raden Adejng Kartini. Menurut A.Teeuw (1970:1), pada ketika itulah para pemuda di Indonesia pertama kalinya mulai menyatakan perasaan dan idea yang pada dasarnya berbeza daripada perasaan dan idea yang terdapat dalam masyarakat setempat yang tradisional dan mulai berbuat demikian dalam bentuk-bentuk sastera yang pada pokoknya menyimpang daripada bentuk-bentuk sastera Melayu, Jawa dan sastera lainnya baik dalam bentuk tulisan mahupun lisan. Sastera Indonesia berkembang berdasarkan tahap-tahap penciptaannya. Karya sastera Indonesia atau lebih dikenali sebagai Pujangga Lama yang dihasilkan sebelum abad 20 adalah didominasikan oleh karya-karya seperti syair, pantun, gurindam juga hikayat. Antara hasil karya sastera pujangga lama ialah Hikayat Abdullah, Hikayat Aceh, Hikayat Iskandar Zulkarnain, Hikayat Kalila dan Damina dan sebagainya. Antara pengarang-pengarang yang tersohor dalam kelompok sekitar awal tahun 1920an ialah Bidi Dharma, Amir Hamzah, Chairil Anwar, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali Pak Hamka dan banyak lagi. Mereka merupakan individu-induvidu yang menaikkan tapak permulaan kepada sastera Indonesia. Selepas itu muncul pula berbagai-bagai gagasan yang didominasi oleh pengarang-pengarang. Antaranya ialah Pujanggan Baru, Angkatan 1945, Angkatan 1950 hingga 1960an, Angkatan Reformasi, Angkatan 2000an dan sebagainya. Pujangga Baru diterajui oleh Sutan Takdir Alisjahbana, Hamka, Armijn Pane dan sebagainya. Angkatan 1945 pula diterajui oleh penulis-penulis seperti Chairil Anwar, Pramoedya Anta Toer serta Mochtar Lubis. Pengalaman hidup dan gejolak sosial-politik-budaya telah mewarnai karya sastrawan Angkatan '45.  Kemudian pada sekitar tahun 1960an muncul pula penulis seperti W.S Rendra, Ajip Rosidi dan sebagainya. Selepas itu muncul pula Angkatan Reformasi serta Angkatan 2000an. Antara pengarang-pengarang yang tersohor ketika ini ialah Danarto, Ayu Utami, Ahmad Fuadi, Habiburrahman El Shirazy dan ramai lagi. Mereka telah meneruskan legasi sastera Indonesia sehingga kini.

1.0    SUSURGALUR PERKEMBANGAN SASTERA INDONESIA DI ERA 1990AN HINGGA KINI
Pasa sekitar period 1990an, penulis-penulis Indonesia masa ini telah berada period orde baru iaitu pengarang dapat menulis dalam sistem keterbukaan. Hal ini bermaksud penulis dapat menulis teks sastera secara terbuka tanpa menghiraukan isu yang hendak diketengahkan seperti politik kerana pada tahap ini, pemerintahan orde baru telah mengemukan politik keterbukaan. Antara gagasan yang lahir sekitar period ini ialah 'sastera kembali ke sumber, 'sastera wangi' atau "chick-lit" serta gagasan 2000an iaitu sastera yang berkembang sekarang yang banyak menerapkan unsur percintaan dalam karya-karya sastera. Gagasan Sastera Kembali ke Sumber ini telah diterajui oleh Danarto. Selain itu, penulis yang turut berada dalam gagasan Sastera Kembali ke Sumber yang juga dikenali fasa sastera sufistik ini ialah Kuntowijoyo serta Abdul Hadi W.M. Sastera Kembali ke Sumber ini membawa maksud penulisan karya sastera yang membawa pengarang dan pembaca kembali kepada pencipta iaitu Tuhan. Sumber dalam pengertian sebagai satu daerah penciptaan yang paling dalam yang terbuka pada segala kemungkinan disebabkan adanya ikhtiar untuk berhubungan sacara langsung dan terus menerus dengan sumber penciptaan iaitu Tuhan. Gagasan ini juga cenderung kepada teks-teks sastera yang beraliran sufistik. Puji Santosa dalam artikalnya menyatakan bahawa antara sasterawan Indonesia moden yang menulis sastera sufistik ialah Danarto dengan kumpulan cerpennya, Godlob, Adam Makrifat, dan Berhala; Kuntowijoyo dengan novelnya, Khotbah di Atas Bukit, dan kumpulan sajaknya, Isyarat, dan Suluk Awang Uwung; M. Fudoli Zaini dengan novelnya, Arafah; Sutardji Calzoum Bachri dengan kumpulan puisinya, O Amuk Kapak; Motinggo Busye dengan novelnya, Sanu Infinita Kembar; serta Abdul Hadi W.M. dalam kumpulan sajaknya, Tergantung pada Angin dan Anak Laut Anak Angin, terutama sajaknya, “Tuhan, Kita Begitu Dekat”, memperlihatkan kecenderungan sufistik yang bersifat mistikal dan supralogis, sekaligus sebagai sarana ekspresi asmara sufi penyair atau sastrawannya.
Menurut Danarto dalam karyanya "Hanya Tuhan yang Ada" beliau terjerumus untuk menghasilkan karya yang bersifat sufistik atau keagamaan ini adalah disebabkan pengalaman peribadi yang di hadapinya. Cerpen  "Hanya Tuhan yang Ada" menceritakan peristiwa-peristiwa yang beliau alami sebelum menjerumus ke dalam bidang penulisan sufistik. Terdapat satu petikan yang beliau garapkan menunjukkan peristiwa luar biasa yang di alaminya tetapi tidak terjadi kepada orang yang lebih ilmu agama darinya iaitu (1985:45):
"...Suatu pengalaman menarik saya alami lagi pada tahun 1967. Waktu itu saya kerja di Leles, sebuah desa di Garut. Saya membeli buku Pedoman Shalat di kaki bukit seharga 15 rupiah. Saya baca dan saya hafalkan semua doa-doanya, kemudian saya mengerjakan shalat untuk pertama kali. Ketika saya mengangkat tangan dalam takbiratul ihram, saya mendengar ribuan suara takbir, seolah-olah datang dari balik bukit, allahu akbar, allahu akbar...Benar-benar suara yang terdengar pada telinga, dan hal itu berjalan selama satu minggu. Tetapi teman yang menemani saya tidak mendengar."
Peristiwa tersebut telah membawa beliau lebih dekat kepada ilmu keagamaan dan mula menulis dalam aliran sufistik dan memberi banyak pengajaran kepada pembaca. Menurut Danarto, masyarakat kita menuju sekular, itu benar dan perhatian kepada agama dan nilai-nilainya menjadi kurang diperhatikan. Namun harus dibezakan antara pengalaman agama dan pengalaman mistik yang menjadi sumber karya saya. Danarto pada pandangan Kuntiwijoyo merupakan wakil terkuat dari sastera sufistik yang sama sekali bersikap anti-intelektualisme. Sebelum lahirnya aliran sufistik, pengarang lebih tertumpu kepada penulisan berbentuk politik. Pengarang lebih gemar mengarang mengenai pemerintah serta kehidupan persekitaran seharian mereka.
Selepas itu, muncul pula sastera wangi atau chick-lit dan sekarang ia lebih popular dengan panggilan "sastera busuk" yang diterajui oleh penulis-penulis wanita seperti Ayu Utami, Oka Rosmini dan Dorothea Rosa Herliany. Menurut Norhayati (2012:84), di Barat, Chick-lit merujuk kepada novel-novel yang ditujukan khusus kepada golongan wanita muda yang isi kandungannya berkisar tentang kisah kehidupan seharian mereka. Sementara istilah sastera wangi pula lebih dikaitkan dengan identiti pengarang sendiri, iaitu para wanita muda yang fanatik dengan aroma serba wangi dan sama sekali tidak berkaitan dengan karya yang mereka hasilkan.
Sastera wangi ini bertujuan untuk golongan penulis wanita mengenengahkan idea-idea mengenai wanita dan keluarga. Hal ini demikian kerana sebelum ini terdapat golongan pengarang lelaki yang telah menulis mengenai wanita seperti Supardi Djoko Damono dalam karyanya "Aku Ingin" dan karya Sutan Takdir Alisyahbana yang bertajuk "Layar Terkembang". Suara-suara lelaki yang menulis tentang wanita telah didominasi sekian lama. Menurut Supardi Djoko Damono (2004:66), beliau menegaskan bahawa:
"Masa depan sastera Indonesia memang bersedia berada di tangan perempuan. Baik dalam lomba atau nonlomba akhir-akhir ini, kehidupan sastera Indonesia didominasi oleh pengarang perempuan"
Hal ini dibuktikan apabila banyak pengarang wanita yang mula menaikkan nama ketika ini seperti Ayu Utami. Menurut Norhayati (2012:83), kebangkitan pengarang wanita di Indonesia selepas era Orde Baru yang bermula pada tahun 1998 amat memberangsangkan. Selain pengarang senior yang masih aktif berkarya, perkembangan kesusasteraan Indonesia yang lebih berani dan terbuka ditandai oleh kemunculan pengarang-pengarang wanita generasi baru. Mereka meraikan kebebasan menulis dengan memaparkan tentang diri, kehidupan peribadi, pengalaman sosial, subjektiviti dan tubuh badan mereka secara jujur, berani dan terbuka. Dalam menjelaskan perkara di atas, Harry Aveling mengatakan bahawa (2004:3):
"...the most exciting and innovative writers of post-Reformation Indonesia literature were women. In itself, this was a significant new development in Indonesian literature. For the first time, women held centre stage in Indonesia writing, and readers could now hear women themselves speaking frankly about personal and social female experience, female subjectivity and female bodies."
Pernyataan di atas menjelaskan bahawa kemunculan pengarang-pengarang wanita dalam sastera Indonesia dengan membawa isu-isu semasa wanita telah mengubah konvensi dalam hasil karya sastera Indonesia. Pada umumnya, identiti pengarang-pengarang dalam sastera wangi ini secara relatifnya berusia muda, berpendidikan tinggi, masih bujang, berwajah cantik serta berpenampilan menarik seperti yang dinyatakan Harry Aveling (2004:4) iaitu:
"... It is the voice, or more correctly the voices, of young, educated Indonesian women writing in an honest and a critical way about the lives, the pleasures and the suffering, the  sexuality, and the need for full self-expression, of themselves and other Indonesian women like themselves."
Menurut Norhayati (2012:83), kebanyakkan tulisan-tulisan pengarang sastera wangi mendapat sambutan hangat daripada pembaca dan pengkritik sastera. Ia bermula dengan pengarang Ayu Utami yang memenangi Sayembara Roman Terbaik Dewan Kesenian Jakarta pada tahun 1998 menerusi novel Saman. Antara karya lain yang beliau hasilkan ialah Larung, Si Parasit Lajang, Lalita dan sebagainya. Menurut Jiwa Rasa dalam artikalnya (2006), Novel Saman ini bagai satu penemuan baru bagi sastera Indonesia. Utami membicarakan soal yang taboo dalm masyarakat Melayu, khusunya di Indonesia pada masa itu. Saman sering disebut sebagai contoh karya dengan ciri "keterbukaan baru" dalam membicarakan tentang seks dan wanita. Banyak bahagian dalam novel ini menceritakan perilaku seksual yang hampir sepenuhnya bertentangan dengan norma masyarakat Indonesia. Seks dalam novel ini bukan lagi sebagai isu pinggiran yang menambahkan perisa cerita. Ianya menjadi isu sentral yang mendasar dalam novel ini. Saman cuba bercerita dengan jujur tentang isu seks dari sudut pandangan seorang wanita. Novel ini jelas menunjukkan bahawa pengarang wanita telah mula berfikiran terbuka dalam menghasilkan karya. Pandangan Y.B Mangunwijaya terhadap karya Saman ialah:
"Superb, splendid....Novel ini dinikmati dan berguna sejati hanya bagi pembaca yang dewasa. Bahkan amat dewasa. Dan jujur. Khususnya, mengenai dimensi-dimensi politik, antropologi sosial, dan teristimewa lagi agama dan iman."
Selepas itu, wujud pula karya Sastera Angkatan 2000. Isi kandungan penulisannya lebih kepada tema percintaan. Antara penulis karya Sastera Angkatan 2000 ialah Habiburrahman El Shirazy, Ayu Utami, Yani Rahna Nugrahsni, Dewi Lestari dan sebagainya. Contohnya seperti karya Habiburrahman El Shirazy iaitu Ketika Cinta Bertasbih, Di Atas Sajadah Cinta serta Ayat-ayat Cinta. Karyanya ini lebih tertumpu kepada tema percintaan dan beliau juga menyelitkan unsur keagamaan di dalamnya. Oleh itu, karyanya ini bertemakan percintaan islamik. Pada tahun 2005, novelnya iaitu Ayat-ayat Cinta telah memenangi penghargaan The Most Favourite Book dengan mengalahkan Harry Potter. Menurut Joni Ariadinata Cerpenis, Redaktur Jurnal Cerpen Indonesia, novel Ayat-ayat Cinta adalah novel yang tidak klise dan tak terduga pada setiap babnya. Novel ini mengajak kita untuk lebih jernih, lebih cerdas dalam memahami cakerawala keislaman, kehidupan dan juga cinta.
3.0 KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, perkembangan atau susurgalur sastera Indonesia adalah mengikut tahap-tahap yang telah di tubuhkan oleh pengarang-pengarang. Pada mulanya iaitu sekitar awal tahun 1920an, sastera ditulis untuk memberontak atau memperihalkan mengenai politik dalam sesebuah teks sastera. Kebanyakan karya yang dihasilkan adalah mengenai pemerintah tetapi sering kali disekat pengeluarannya kerana menyentuh isu-isu yang sensitif. Contohnya seperti karya-karya yang dihasilkan Pramoedya Anarta Toer. Karya-karyanya mempunyai unsur-unsur yang sangat sensitif mengenai pemerintahan kerajaan ketika itu sehingga beliau telah di penjarakan selama 18 tahun. Pada sekitar period 1990an hingga kini barulah muncul pemerintahan orde baru yang telah mengemukakan prinsip keterbukaan. Hal ini membolehkan penulis menghasilkan karya dengan lebih terbuka kerana proses politik keterbukaan telah diwujudkan. Sekitar period ini juga wujud "gagasan sastera kembali ke sumber", "sastera wangi atau chick-lit" serta "Sastera Angkatan 2000". Terdapat ramai tokoh penulis yang terlibat di dalam penulisan sastera sekitar period ini antaranya termasuklah, Danarto, Kuntowijoyo, Muhamad Padoli, Oka Rosmini, Ayu Utami, serta Habiburrahman El Shirazy. Idea-idea yang dicetuskan oleh penulis berbeza dari tahap-tahap yang mereka terajui. Terdapat penulisan yang berunsurkan percintaan, keagamaan, kisah peribadi, masalah kehidupan seharian dan sebagainya. Karya-karya penulis ini kebanyakan menyatakan pendirian mereka tentang sastera itu sendiri, bangsa mereka atau negara mereka sendiri iaitu Indonesia.



4.0  BIBLIOGRAFI
A.Teew. (1970). Sastera Baru Indonesia. Kuala Lumpur:University of Malaya Press.
Ali Ahmad. (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harry Aveling. (2004). Indonesian Literature after Reformasi: The Tounges of Women.
Harun Mat Piah et al. (2000). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan          Bahasa dan Pustaka.
Jiwa Rasa. (2006). Ayu Utama & Saman. http://jiwarasa.blogspot.com/2006/02/ayu-utami-       saman.html. Diakses pada 9 Mei 2013.
Norhayati Ab. Rahman. (2012). Puitika Wanita Indonesia dan Malaysia Satu Bacaan Ginokritik. Pulau Pinang:Universiti Sains Malaysia.
Puji Santosa. Artikel Sastra Sufistik: Sarana Ekspresi Asmara Sufi Sastrawan.            http://badanbahasa.kemdikbud.go.id/lamanbahasa/artikel/1249. Diakses pada 9 Mei 2013.
Supardi Djoko Damono. (9 Mei 2004). Majalah: Tempo.

 OLEH ROSLINDA RASHID, SARJANA SASTERA USM

KESUSASTERAAN KANAK-KANAK DAN REMAJA

PENDAHULUAN
Dunia sastera semakin mendapat tempat di hati khalayak umum masa kini. Peminat sastera semakin meluas bermula daripada khalayak kanak-kanak sehinggalah ke peringkat dewasa. Sastera menjadi salah satu pilihan dalam kehidupan mereka. Perkara yang boleh dibanggakan lagi ialah bidang kesusasteraan turut dijadikan bidang kerjaya yang dipandang dengan serius. Sastera ini juga mempunyai banyak cabang dan pecahannya yang tersendiri. Malahan, salah satu daripada genre sastera yang semakin mendapat perhatian ialah sastera remaja. Sastera remaja didefinisikan sebagai karya sastera untuk bacaan para remaja dari lingkungan 13 tahun sehingga 21 tahun. Di barat, sastera remaja turut dikenali sebagai young adult literature.
Disamping itu, kesusastera kanak-kanak juga semakin mendapat tempat dalam kalangan kanak-kanak. Kesusasteran kanak-kanak ini muncul daripada kisah folklore contohnya kisah yang telah dikumpulkan iaitu Aesop’s Fables dan diterbitkan pada tahun 1484. Pada awal abad ke-17 seorang lelaki yang terkenal dalam bidang pendidikan iaitu John Locke mencetuskan revolusi dalam pendidikan kanak-kanak dengan menyebarkan ideologi dan memadamkan perspektif masyarakat terhadap kanak-kanak sehingga masyarakat berfikir tentang kanak-kanak. Namun, persoalannya disini ialah apakah yang membezakan diantara kesusasteraan kanak-kanak dengan kesusastera remaja ini?
DEFINISI DAN KONSEP SASTERA REMAJA DAN KANAK-KANAK.
Bagi menjelaskan dan mendefinisikan apa itu kesusasteraan kanak-kanak memerlukan penelitian yang teliti. Kesusasteraan kanak-kanak menjadi sesuatu istilah yang amat subjektif  kerana banyak pandangan daripada pengkaji tentang  bahan sastera ini. Salah satunya ialah kesusasteraan kanak-kanak ini telah ditambah dengan nilai yang ‘baik’ bagi memisahkannya dengan sastera yang lain. Malahan, perkataan sastera itu sendiri mempunyai penilaian dan penelitian kualiti. Nilai ini atau kualiti tinggi ini berhubungan dengan standard kesusasteraan, idea-idea yang mendalam dan plot dan watak yang sentiasa diingati. Oleh itu, standard yang tinggi bergantung kepada kualiti yang tinggi.  Kesusasteraan kanak-kanak juga merujuk kepada konsep yang sangat abstrak dan sarat dengan nilai dan tangapan yang bernilai. Menurut  Perry Nodelman (1992),
“children literature is not just literature written with children in mind, non is not just literature that happens to be read by children it is a genre, a special kind of literature with its own distinguishing characteristics.”

 Hal ini bermakna, kesusasteraan kanak-kanak ditulis khas untuk kanak-kanak dan lazimnya dibaca oleh kanak-kanak dan mempunyai ciri-ciri tertentu yang akan membezakannya dengan kesusasteraan lain. Sesebuah karya sastera kanak-kanak yang baik  menepati ciri-ciri tertentu iaitu:
1.      Pengalaman penulis dewasa yang menulis berkenaan perspektif dan pemikiran  kanak-kanak berdasarkan perkembangan psikologi kanak-kanak. Dengan kata lain, penulis dewasa akan mengarang karya mengikut pekembangan kanak-kanak dari pelbagai sudut. Contohnya, karya Umi Ena ( Rozninah Abd Azib) yang bertajuk Natasha Mahu Cantik. Novel ini berkisahkan tentang seorang kanak-kanak yang bercita-cita untuk kelihatan lebih cantik berbanding adiknya. Novel ini digarap bersesuaian dengan pemikiran dan psikologi seorang kanak-kanak perempuan walaupun Umi Ena sudah berusia dalam lingkungan 40-an. Umi Ena berjaya menjiwai dan meneroka dunia kanak-kanak dan dilakar menjadi kisah didalam novel ini dengan penuh berisi nilai-nilai moral dan kemanusiaan.
2.      Plot yang mudah. Perjalanan dan perkembangan plot amat mudah dan tidak terlalu kompleks dengan pelbagai konflik yang sulit. Ia bertujuan untuk tidak menganggu emosi dan tumpuan kanak-kanak.
3.      Tertumpu kepada adegan aksi. Sebuah karya kanak-kanak lebih tertumpu kepada adegan aksi dimana setiap aksi akan menonjolkan kehebatan wira wati yang akhirnya akan menemui kejayaan atau kemenangan dalam setiap cabaran dan halangan. Malahan, ia bertujuan untuk menimbulkan rasa optimis dan keseronokan bagi kanak-kanak dan membentuk mereka supaya lebih cergas dan aktif.
4.      Watak yang ditonjolkan adalah watak  kanak-kanak atau menyerupai kanak-kanak. Watak yang ditonjolkan dalam sesebuah karya adalah watak kanak-kanak itu sendiri agar pembaca sasaran iaitu kanak-kanak dapat menjiwai dan turut merasai apa jua perkara yang berlaku terhadap watak dalam cerita. Kadang-kadang mereka dapat menganggap bahawa watak itu adalah diri mereka sendiri.
5.      Menjurus kepada campuran antara elemen fantasi dengan realiti. Sesebuah novel kanak-kanak juga turut dimuatkan unsur fantasi yang tidak dijangkau oleh pancaindera( tidak diketahui oleh kanak-kanak) dan unsur realiti bagi menjana minda yang cerdas, membentuk daya kreativiti dan imaginasi serta memberikan input yang baru kepada kanak-kanak contohnya dunia kayangan, alam semesta, alam lautan dan sebagainya.
Perkara yang paling dipentingkan dalam sesebuah karya sastera kanak-kanak ialah mesej yang ingin disampaikan mestilah mempunyai unsur pengajaran. Buktinya menurut Nodelman (1996), ciri-ciri tersebut mestilah mempunyai unsur didaktik dan menyeronokan pembaca khususnya golongan kanak-kanak. Unsur didaktik ini ialah unsur yang mempunyai mesej yang mampu membentuk dan mendidik golongan kanak-kanak dalam soal nilai kemanusiaan, moral, nasionalisme dan sebagainya.
Kesusasteraan remaja pula didefinisikan sebagai sebuah karya yang mampu memenuhi keinginan remaja yang tidak tercapai. Buktinya, merujuk kepada pandangan sarjana iaitu Othman Puteh, sastera remaja pula adalah sebuah karya sastera yang berfungsi sebagai alat mengisi sebahagian daripada tuntutan keperluan remaja terutama dari segi pengisian minda, pembentukan sahsiah, kerohanian dan pemantapan psikologi. Disamping itu, karya itu mesti mempunyai maklumat terbaru, berilmu, unsur intelektual, dan mampu  menyerlahkan kecerdasan remaja. Dari segi konsep, sastera remaja adalah bahan bacaan kreatif yang relevan dengan pertumbuhan dan perkembangan psikologi remaja. Sebuah karya remaja ini dianggap berkualiti apabila menepati ciri-ciri berikut.
1.      Mesej yang bersifat informative, mendidik, berupaya membina watak, memperkaya pengalaman dan pengetahuan remaja serta membangkitkan daya cipta, menitikberatkan perihal nilai-nilai murni, nilai kemanusiaan dan nasionalisme dan sebagainya.
2.      Dari segi watak yang menampilkan watak tauladan, tidak mustahil dan ideal, kreatif, bercitra jujur, setia, gigih dan lasak/aktif, dan berfikiran rasional dan matang dalam melakukan tindakan atau membuat keputusan.
Sesebuah karya sastera remaja perlu mengandungi teks dan konteks yang bersesuaian dengan ciri-ciri psikologi remaja iaitu menerapkan peristiwa seperti berikut:
a)      Mengunakan situasi ketidaktenangan atau kegelisahan yang mendominasikan pemikiran dan emosi remaja contohnya seseorang remaja yang mempunyai pelbagai keinginan dan impian tetapi tidak dapat dicapai/dilaksanakan. Kegagalan itu menyebabkan mereka gelisah dan cuba untuk mencari jalan penyelesaian agar keinginan itu dapat dicapai.
b)      Memainkan naluri remaja yang suka melakukan sesuatu percubaan untuk menambah pengalaman berkaitan sesuatu yang baru atau sering dilakukan oleh orang dewasa tidak kira perkara tersebut baik atau buruk.
c)      Wujud keinginan untuk meneroka alam sekitar yang lebih luas, mencabar dan menyelidiki persekitaran contohnya keluar mengembara bagi tujuan tertentu.
d)     Melakukan kegiatan secara berkelompok. Kegiatan berkelompok ini bermaksud remaja lebih suka bersosial bersama rakan sebaya dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.
Menurut Othman Puteh, sesebuah karya sastera remaja yang tidak bermutu adalah berselera rendah, menghairahkan, tanpa mesej, terlalu komersial, perilaku watak terdorong oleh gesaan nafsu, emosi yang tidak rasional dan bukannya berfikiran jernih. Menurutnya lagi, karya yang bermutu adalah sebuah karya yang mampu mengangkat pengarang dan teks di tahap yang bermaruah dan wajar. Malahan, sastera remaja yang berkualiti juga adalah sebuah karya yang mengungkapkan permasalahan remaja seperti krisis identiti bukannya hanya tertumpu pada soal cinta semata-mata.
Menurut Jakob Sumarjo dalam bukunya yang bertajuk Novel Popular Indonesia (1982:63) membuat pergolongan berdasarkan sasaran pembaca dengan mengkategorikan novel remaja sebagai novel popular. Sastera popular ini dikatakan teks dan konteksnya hanya tertumpu kepada kisah yang berligar sekitar percintaan remaja, perkenalan mereka, dan konflik antara mereka semata-mata. Contohnya, kisah yang berlaku terhadap watak yang masih dibangku sekolah atau ijazah sarjana yang bertemakan kisah percintaan antara pelajar. Kini, novel remaja popular ini semakin hangat di pasaran dan menjadi bualan para remaja antaranya Suami Aku Ustaz, Alahai Mat Skema, I Love You Mr Arrogant dan sebagainya. Sastera remaja pula yang tinggi kualitinya dan menepati ciri-ciri yang telah dijelaskan di atas. Contohnya, Hikayat Faridah Hanum, Salina, Melor di Kuala Lumpur dan sebagainya.
Sebelum menghurai lebih lanjut tentang perbezaan antara kedua-dua genre sastera ini, lebih elok perbincangan ini mengupas tentang psikologi kanak-kanak dan remaja terlebih dahulu yang turut mempengaruhi teks dan konteks dalam genre-genre tersebut.
PSIKOLOGI KANAK-KANAK.
Setiap bayi yang dilahirkan akan mengalami perkembangan. Perkembangan secara umum didefinisikan sebagai aspek perubahan yang dihadapi oleh individu yang berubah mengikut peredaran masa. Namun, pelbagai pendapat telah dikemukakan mengenai konsep dan definisi perkembangan itu sendiri, salah satunya ialah daripada Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak yang mengatakan perkembangan adalah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat dari sifat baru yang berlainan dari sifat yang lebih awal. Berbanding Santoock (2008), perkembangan dapat ditafsirkan sebagai perubahan dalam corak biologi, kognitif, dan sosioekonomi individu yang bermula dari peringkat percambahan sehingga akhir hayat. Kesimpulannya, perkembangan dapat diklasifikasikan sebagai satu perubahan yang bersifat kuanlitatif, tersusun, bertahap, dan berterusan pada diri manusia bermula semenjak percambahan sel sehingga ke akhir hayat organism hasil dari kombinasi pembelajaran, pengalaman dan kematangan melibatkan aspek-aspek fizikal, emosi, mental dan sosial.
Sebagai contoh, seseorang kanak-kanak akan mula mengenal objek, mengenal huruf, mengaitkan huruf dengan objek, mengenal perkataaan dan mengaitkannya dengan objek. Justeru, perubahan-perubahan yang berlaku adalah berterusan sepanjang hayat dan melalui peringkat-peringkat kematangan tertentu. Kematangan pula merujuk kepada perubahan semulajadi dan ditentukan oleh genetic. Ia biasanya dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Oleh itu, perkembangan adalah hasil daripada kematangan dan pembelajaran. Perkembangan kognitif mengupas isu kemahiran yang merangkumi kemahiran membaca, menulis, mengira, berfikir secara kreatif dan kritis. Menurut Siti Hawa Murji dan Ma’rof Redwan dalam buku Pengantar Psikologi pula, perkembangan kognitif dikatakan sebagai perkembangan fikiran dan intelek manusia. Selain itu, perkembangan kognitif kanak-kanak dalam carian laman web http://www.anakku.my/artikel menyifatkan perkembangan kognitif sebagai proses peningkatann keupayaan pemikiran, pengetahuan, dan intelektual kanak-kanak. Kanak-kanak digolongan sebagai individu yang berumur sejak lahir hingga mencapai umur 12 tahun.
PSIKOLOGI REMAJA.
Mengikut undang-undang negara Malaysia, remaja ialah individu yang berumur dalam lingkungan 14 hingga 21 tahun. Pengukuran ini dibuat berdasarkan tahap-tahap perkembangan seperti berikut.
1.      Biologi iaitu perkembangan fizikal, mengikut jantina, mental
2.      Sosioekonomi iaitu kemampuan untuk berdikari tanpa bergantung kepada ibubapa dari segi sosial, kewangan dan kemampuan untuk berfikir.
3.      Psikologi iaitu perkembangan sikap, emosi, minat, cita-cita dan sahsiah diri, sosial dan juga moral.
4.      Umur iaitu perkembangan umur diantara 14 tahun hingga 21 tahun. Dengan kata lain waktu peralihan diantara kanak-kanak dengan dewasa. Buktinya, mengikut Arthur T. Jersild, Judith S.B Rook, David W. Brook (1978:5) remaja adalah golongan yang berumur dalam lingkungan peralihan antara zaman kanak-kanak dan dewasa iaitu diantara 11 hingga 21 tahun. Malahan, menurut negara Indonesia: Kajian yang dibuat oleh Dr Kartini Kartono (1987:9) remaja adalah dalam lingkungan berumur antara 13 hingga 20 tahun bagi lelaki dan 13 hingga 21 tahun bagi golongan perempuan.
Pemikiran pada usia remaja mula berubah dengan cepat. Pada zaman ini, remaja banyak menyelesaikan masalah mengikut cara yang berbentuk logic dan bukan berdasarkan fakta semata-mata. Apabila remaja menaakul secara abstrak mereka sangat berbangga apabila mampu menyelesaikan masalah. Sikap ini menyebabkan remaja terlalu idealistic dan kurang menghargai batasan logic (Piaget, 1967).
PERBEZAAN DIANTARA KESUSASTERAAN KANAK-KANAK DENGAN REMAJA.

Perbezaan kusasteraan kanak-kanak dengan kesusasteraan remaja dapat diruju dengan teliti melalui jadual berikut:
Perbezaaan

Kesusasteraan kanak-kanak
Kesusasteraan remaja
Ciri-ciri
Bahasa
Mudah dan senang difahami
Bahasa lebih tinggi dan moden
Jumlah perkataan
Jumlah perkataan terhad dan denotatif
Keseluruhan adalah teks
watak
Kanak-kanak sebagai watak utama atau menyerupai kanak-kanak(binatang/tumbuhan) yang mempunyai sifat kanak-kanak.
Watak pelbagai dan abstrak
Plot
Plot mudah dan berfokus kepada aksi dalam pengembaraan contoh kuasa baik lawan kuasa jahat
Plot lebih komplek dengan unsur-unsur konflik,
Persembahan
Mempunyai ilustrasi grafik
Tidak mempunyai grafik

Realiti, imaginasi dan fantasi
Realiti dan logic akal
Konteks
Memaparkan nilai-nilai kemanusian, budaya, nilai moral, didaktik dan pendidikan.
Memaparkan budaya global, kritikan moral, konflik sosial, politik dan ekonomi
Nilai
1.      Personal
Menyeronokan
Motivasi
Nilai moral
2.      Akademik
Meningkatkan tahap membaca
Menulis
Apreasasi seni


Mendidik dan motivasi
Membentuk jati diri/sahsiah
Memberi maklumat baru



Berdasarkan jadual di atas,  terdapat perbezaan yang ketara antara kesusasteraan kanak-kanak dan remaja. Jika diukur dari sudut bahasa. Kesusasteraan kanak-kanak mengandungi pembendaharaan kata yang terhad dan jumlah halaman yang sedikit berbanding novel remaja. Contohnya, novel kanak-kanak karya Ismail Restu yang bertajuk Anak-anak Bertuah berhalaman 196 muka surat  sahaja berbanding novel remaja yang bertajuk Takdir itu Milik Aku karya Siti Rosmizah yang berhalaman sebanyak 500 muka surat. Bahasanya juga mudah difahami, tepat dan tidak terlalu berlapis-lapis atau berkias. Contohnya, kisah Siapa lebih Bijak dalam novel Himpunan 366 Cerita Rakyat m/s 1:
“Pada zaman dahulu ada seorang pengembara bernama Mat Lawi. Pada suatu hari, dia tiba di kampung Manggis. Di kampung itu ada dua pemuda nakal yang bernama  Hassan dan Husin. Mereka berkawan baik”.
Pembendaharaan kata bagi novel remaja pula lebih bersifat kompleks dan ada kalanya mengikut bahasa remaja atau bahasa slanga dan bahasa rojak. Contohnya dalam novel Pelangi Senja karya Beruka Makino:
Helo Adriana here, malam ni tak jadi keluar makan. Aku dah beli makanan kat kafe. Ok bye!” kemudian tanpa menunggu balasan kata, dia meletakan talian.

Manakala dari segi watak dan perwatakan, kesusasteraan kanak-kanak terutaman novel kanak-kanak mempersembahkan watak kanak-kanak sebagai watak utama. Contohnya dalam novel Aisya Budak Hostel karya Siti Shahirah dan Kawan Baru Hanani karya Nisha Harun memaparkan watak kanak-kanak perempuan dalam menghadapi kehidupan mereka. Malahan, terdapat juga watak bukan manusia yang mempunyai perangai, perwatakan, pemikiran, tingkahlaku seperti kanak-kanak contohnya kisah anak ayam dalam keluarga itik dalam novel Funny Frank karya Dick King Smith. Karya yang memaparkan zaman kanak-kanak ini berjaya menarik minat dan emosi kanak-kanak dengan memberikan keseronokan, inpirasi dan juga motivasi kepada mereka. Malahan, kanak-kanak turut dapat menjiwai watak, terasa serasi dengan watak dan kadangkala merasakan watak tersebut adalah dirinya sendiri.
Namun, novel remaja pula banyak memaparkan watak, latar tempat dan latar masyarakat yang real dan logik. Malahan watak protagonis dan watak utama dalam karya itu adalah golongan remaja. Novel remaja ini mengisahkan tentang dunia realiti, kehidupan remaja yang mengalami konflik dalam perhubungan antara kekasih, konflik kekeluargaan dan masyarakat sekeliling. Contohnya, novel bertajuk Kampung Girl karya Umi Kalsom memaparkan kisah pergolakan dua jiwa antara Asraf dan Ainnur yang terpaksa berkahwin kerana didesak oleh kedua ibubapa mereka. Kisah ini berkisar di kawasan nyata iaitu kawasan kampung, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Dari segi penyusunan plot, novel kanak-kanak mengunakan plot yang mudah dan tidak kompleks. Kisah-kisahnya banyak berkisar tentang pengembaraan yang banyak unsur kebetulan, magik dan juga berfokus kepada pelbagai aksi yang mendebarkan dan menerujakan pembaca. Biasanya watak baik akan berjaya menewaskan watak jahat dalam setiap konflik. Maka, wujudnya perasaan optimis dalam kalangan kanak-kanak bahawa setiap perkara yang baik pasti akan menewaskan keburukan dan keburukan/kejahatan akan mendapat balasan yang setimpal atas kelakuan mereka. Pengakhiran cerita berakhir dengan kisah gembira (happy ending). Contohnya, novel bertajuk Cendrakasih karya Maria Kajiwa yang memaparkan kisah budak lelaki bernama Aizat yang mengembara ke atas awan untuk menyelamatkan Negeri Cendrasakti dengan menaiki seekor burung cendrawasih yang bernama kasih. Semasa pengembaraan, berlaku pelbagai aksi dan magik sehingga Aizat dan Kasih terperangkap dalam peperangan dan terpaksa bertarung dengan belalang jahat. Akhirnya, Negeri cendrasakti dapat diselamatkan dan Aizat pulang semula ke rumahnya di bumi. Unsur fantasi iaitu alam di atas awan itu menimbulkan imaginasi kepada golongan kanak-kanak dalam memenuhi kehendak mereka yang ingin tahu dalam banyak perkara. Imaginasi juga melatih mereka untuk berfikir dalam membentuk pemikiran yang luas dan kreatif.
Novel remaja pula, plotnya lebih pelbagai dan kompleks. Dari segi teknik penceritaan, novel remaja banyak memasukan unsur imbas kembali, imbas muka, pemerian, monolog dan sebagainya. Perjalananan ceritanya juga tidak mengikut teknik konvesional seperti novel kanak-kanak seperti pemulaan cerita, klimaks dan peleraian. Hal ini demikian kerana, cerita novel remaja kadang kala dimulakan dengan kisah peleraian kemudian permulaan dan konflik kemudian berakhir dengan peleraian. Seperti gambarajah dibawah:
Plot konvesional
Plot moden*
               Klimaks

Permulaan                      perleraian
                Permulaan   
  (imbas                                   ( pemerian)
kembali)
                                           klimaks
Peleraian            (imbas muka)       *dan lain-lain

Contohnya dalam novel Aduhai Mat Skema karya Levis Delisya. Plotnya lebih kompleks dimana cerita dimulakan dengan kisah Nur Hanna semasa belajar di sekolah dan mula membenci rakan sekelasnya yang agak skema iaitu Faris. Setelah tamat pengajian mereka memasuki dunia pekerjaan dan bertemu kembali berlakulah teknik imbas kembali dimana jalan cerita mula mengisahkan kembali semasa mereka di bangku sekolah. Oleh itu, plot kembali kepada pemulaan dan berkembang kepada klimaks dan berakhir dengan peleraian.
Akhir sekali, dari segi mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam novel kanak-kanak lebih kepada unsur didaktik dimana pengarang menerapkan pelbagai nilai-nilai kemanusiaan, moral dan sebagainya untuk membentuk jati diri kanak-kanak kearah lebih berkualiti dan berguna kepada bangsa dan negara kelak. Contohnya, dalam novel karya A.Samad Said yang bertajuk Antara Kabus ke Kabus memaparkan kisah perjuangan seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Fauzi semasa pendudukan Jepun. Fauzi berusaha menyelamatkan guru agamanya Ustaz Halim yang ditangkap oleh tentera Jepun. Daripada kisah ini, pengarang ingin menimbulkan dan menanamkan semangat nasionalisma dalam kalangan generasi muda sejak kecil lagi.
Namun, sebaliknya berlaku pada novel remaja popular dimana ia lebih banyak memaparkan kisah yang tidak bermesej dan lebih menghairahkan. Contohnya, novel-novel yang hanya bertema kisah percintaan antara muda mudi yang tidak banyak mempersoalkan tentang nilai moral, nasionalisma dan sebagainya. Pengarang  lebih ghairah untuk mendapat keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kualiti sesebuah hasil karya yang bernilai sastera. Tetapi, novel remaja yang berkualiti masih lagi banyak di pasaran namun tidak mendapat sokongan mengalakan dari pembaca remaja berbanding novel remaja popular tersebut. Novel remaja ini menyampaikan mesej yang lebih berkualiti dan wajar seperti memperjuangkan emansipasi wanita, memperjuangkan hak-hak, memperjuangkan kemerdekaan tanah air seperti hasil tangan Syeikh Al-Hadi, Abdul Rahim Kajai dan sebagainya.
KESIMPULAN.
Sastera kanak-kanak yang dihasilkan dalam bentuk buku yang boleh dibaca oleh kanak-kanak dan mampu menimbulkan rasa keseronokan dan kepuasan dalam diri mereka. Bagi mencapai tahap tertinggi nilai sastera dan estetika karya, penghasilan sesebuah buku/novel kanak-kanak perlu dilakukan dan bentuk teks dan ilustrasi bagi menarik minat golongan ini untuk meminati budaya membaca malahan dapat meningkatkan taraf kognitif mereka. Sastera kanak-kanak ini merupakan salah satu elemen penting untuk melengkapkan perkembangan seseorang kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, sastera kanak-kanak mampu memberikan keseronokan, dapat meransang imaginasi, dapat membantu mengenal dan memahami diri sendiri, memahami bahasa, mendapatkan maklumat dan memupuk nilai-nilai murni dalam diri individu kanak-kanak tersebut. Berbanding dengan kesusasteraan remaja, dari segi mesej yang ingin disampaikan tidak banyak beza diantara sastera kanak-kanak. Namun, sastera remaja lebih bersifat logical kerana tidak mengandungi unsur fantasi tetapi lebih kepada imaginasi yang berbentuk logical. Tetapi kini, sastera remaja telah banyak dipersoalkan dari segi isinya yang semakin hari semakin rendah mutunya. Antaranya disebabkan oleh pengaruh kapitalisme yang mementingkan keuntungan semata-mata oleh itu, karya tersebut ‘terpaksa’ dikarang untuk memenuhi citarasa pembaca semata-mata sehingga mengabaikan nilai-nilai sastera. Sastera ini lebih dikenali sebagai sastera remaja popular. Namun, sastera remaja terus bangkit dengan munculnya penulis-penulis baru seperti Faizal Tehrani dan sebagainya.

RUJUKAN
Carol Lynch Brown, Carl M. Tomlinson (1999). Essential of Children’s Literature Third Edition.
Judith Hillman (1999). Discovering Children’s Literature Second Edition. Merril : Upper Saddle River
Levis Delisya (2010). Aduhai Mat Skema.  Kuala Lumpur : Buku Prima Sdn Bhd
Nik Rafidah Nik Muhd Affendi (2010). Kesusasteraan Remaja dan Penulisan: Teknik penceritaan serta Pengaplikasian dalam novel Remaja. Kuala Lumpur : Casa Delima Sdn Bhd.
Othman Puteh(1998). Tangapan terhadap Kesusasteraan Remaja. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman Puteh ( 1998 ). Sastera Remaja Ditinjau dari beberapa Perspektif. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


 OLEH ROSLINDA RASHID, SARJANA SASTERA USM