![No automatic alt text available.](https://scontent.fkul5-1.fna.fbcdn.net/v/t1.0-9/17990759_1422746664449901_2908299546888973212_n.jpg?oh=7801490d255b80633be9c10e95664099&oe=598762B3)
Ulasan Republik Sungai Golok tulisan Isma Ae Mohammad
Dari sudut geografi, Sungai Golok merupakan sebuah sempadan Antarabangsa yang memisahkan negara Malaysia dan Thailand. Sungai ini sepanjang 646 kilometer mengalir ke Laut China Selatan, menembusi Pengkalan Kubur dalam jajahan Tumpat di sebelah Malaysia dan Tak Bai dalam jajahan Narathiwat di sebelah Thailand. Sungai Golok juga telah memisahkan Rantau Panjang dengan Narathiwat, Songkla, Yala dan Satun. Dari sudut sejarah, sempadan ini terbina setelah perjanjian Inggeris-Siam atau perjanjian Bangkok terlerai pada tahun 1909. Antara kesannya, Kelantan terpaksa kehilangan wilayah Tabal (Tak Bai) ditukarkan dengan wilayah Reman, wilayah ini dipisahkan melalui Sungai Golok secara ‘paksa’ tanpa persetujuan masyarakat setempat.
Sejak dahulu hingga kini masyarakat setempat tidak kira masyarakat sebelah Rantau Panjang Kelantan atau Selatan Thailand masih meneruskan aktiviti seharian seperti berniaga di Nat atau pasar-pasar sebagai sumber ekonomi utama. Sebahagian mereka menjalankan ekonomi sampingan seperti tanaman sawah padi, mencari kerang di sungai, menangkap burung atau belalang dan sebagainya. Garis pemisah berpandukan Sungai Golok yang dibina angkara kuasa-kuasa politik tersebut menyebabkan sosioekonomi masyarakat setempat terganggu dan terhalang. Perbatasan ini juga telah menimbulkan masalah nasionalisma, kerakyatan, kekeluargaan, pendidikan, bahasa, agama dan budaya masyarakat setempat. Permasalahan ini jelas dipertontonkan oleh penulis Patani, Isma Ae Mohamad dalam bukunya yang bertajuk Republik Sungai Golok (2016).
Penulis mengunakan sudut pandangan orang ketiga serba tahu dalam mengarapkan jalan cerita. Penulis memilih watak kanak-kanak sebagai watak utama cerita, berusia 12 tahun dan beberapa watak kanak-kanak yang lebih muda. Psikologi dan fizikal kanak-kanak ini digambarkan bertubuh kekar, sasa dan tegap. Mereka memiliki sifat pemberani namun keliru, keliru dengan asal usulnya sendiri. Mereka kehilangan identiti. Mereka bersemangat pejuang dan ingin berjuang tetapi untuk negara manakah? Thailand atau Malaysia? Mereka juga berfikiran jauh dan bijak walaupun sistem pendidikan mereka bercelaru. Hal ini dibuktikan melalui pemikiran dan keberanian Fatimah menentang pembinaan tembok sempadan untuk memisahkan Selatan Thai dengan Malaysia. Semangat nasionalisma juga kuat dalam diri kanak-kanak antara dua negara ini contohnya Ramlee, Ahmad dan Faisal.Walaupun Ramlee di besarkan di sebelah Kelantan, Malaysia tetapi jiwanya tetap sayang pada tanah airnya iaitu Thailand sehingga sanggup mempelajari bahasa Thai di Wat Buddha, bersama rakan-rakan yang berbeza bangsa dan agama. Faisal juga bersemangat juang untuk mengekang gejala penyeludupan demi martabat dan maruah negaranya, Malaysia.
Perbezaan bangsa, status, darjat dan agama tidak menjadi permasalahan di kawasan sempadan Sungai Golok ini. Hubungan kekeluargaan dan kekitaan begitu erat walaupun mereka dipisahkan oleh sempadan politik tersebut. Buktinya dapat dilihat apabila masyarakat Malaysia berkunjung ke Kedai Mee Kak Dah sebelah Thailand, bercampur gaul bersama penduduk disitu. Mereka bebas duduk berbual dan bermesra membincangkan permasalahan setempat, politik, kegiatan penyeludupan dan aktiviti seharian.
Namun begitu, penulis mengarapkan beberapa aspek bahasa di dalam buku ini iaitu bahasa Thai dan dialek Kelantan. Sementara itu, masyarakat setempat digambarkan dapat hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang kukuh tanpa mengambil kira status, darjat, agama mahu pun bangsa. Penulis juga memasukkan aspek latar budaya dan agama iaitu masyarakat Melayu Thai beragama Islam, Melayu Islam Malaysia, Siam Thai dan Siam Malaysia beragama Buddha, mereka digambarkan hidup dalam satu rumpun yang harmoni. Buktinya, watak kanak-kanak bersahabat baik tanpa mengira latarbelakang masing-masing. Tetapi malangnya, sempadan yang wujud hasil perjanjian politik itu telah memisahkan mereka tanpa rela.
Dari segi ekonomi, rata-rata penduduk Selatan Thai dan Malaysia menjalankan perniagaan ekonomi ‘haram’ iaitu sebagai penyeludup, banyak pengkalan dibina untuk mendarat dan memungut hasil seludupan barang-barang keperluan. Contohnya beras, lembu, barangan tiruan dari Thailand ke Malaysia. Sementara penyeludup dari Malaysia membekalkan petrol dan barangan keperluan bersubsidi kerajaan Malaysia yang lebih murah ke sebelah Selatan Thailand. Mereka menyifatkan kegiatan tersebut adalah ‘halal’ disisi agama walaupun haram disisi undang-undang kedua-dua negara. Pemerintah dianggap gagal untuk memahami sejarah dan sosioekonomi mereka yang diamalkan sejak dahulu lagi. Oleh sebab itu, mereka tetap meneruskan kegiatan tersebut walaupun dikawal ketat oleh pihak berkuasa. Kegiatan ini menyebabkan kedua-dua belah pihak berkuasa gagal membina tembok pemisah di sepanjang Sungai Golok sehingga kini.
Akhirnya, penyeludupan senjata api dan dadah menjadi punca terjadinya beberapa tragedi pembedilan antara pihak tentera Thai dan penyenayah. Penduduk Selatan Thai pula memberontak untuk membebaskan wilayah Patani dari kekuasan kerajaan Thailand. Peristiwa ini mencetuskan tragedi berdarah, pengeboman dan pembedilan yang melibatkan pihak ketenteraan Thailand, pihak penganas dan penduduk kampung. Justeru itu, pihak berkuasa terpaksa menutup aktiviti lintas sempadan sehingga menganggu aktiviti seharian penduduk termasuklah aktiviti penyeludupan, sosioekonomi, mobiliti penduduk dan keamanan setempat.
Penulis juga memasukkan tragedi pemberontakan yang berlaku di Thailand pada tahun 2004 iaitu tragedi pemberontakan penduduk Selatan Thai di Tak Bai. Tragedi pemberontakan ini telah mengorbankan banyak nyawa orang kampung kerana sesak nafas. Konflik ini berpanjangan sehingga pihak ketenteraan kedua-dua belah pihak terpaksa melakukan pengawalan yang lebih ketat. Akhirnya, penulis mengakhiri kisah Republik Sungai Golok dengan amat tragis.
Dari kaca mata pengkritik, Sungai Golok telah berjaya dizahirkan secara realistik melalui pena penulis, Isma Ae Mohamad.
Dari kaca mata pengkritik, Sungai Golok telah berjaya dizahirkan secara realistik melalui pena penulis, Isma Ae Mohamad.
p/s: Penulis seolah-olah masih juga keliru dengan kewarganegaraan dirinya seperti mana watak Ramlee tetapi akhirnya terpaksa akur dengan garis pemisah itu, Republik Sungai Golok.
oleh: Roslinda Rashid